Isnin, 11 Januari 2010

Indie yang semakin mainstream dan nostalgia Search


1. Bila menonton Anugerah Juara Lagu (AJL) malam tadi umpama menonton sebuah 'gig' di pentas yang besar apabila hampir kesemua peserta terdiri daripada band dan penyanyi yang menyanyikan lagu-lagu berentak Indie (mengikut apa yang ditulis di akhbar-akhbar dan majalah hiburan).

Indie ataupun muzik independent yang sinonim dengan arena muzik 'underground' sebelum ini agak kurang diberi perhatian. Sebelum ini pula di dalam akhbar dan majalah hiburan ianya sering dilabelkan sebagai muzik alternatif. Setelah kumpulan Meet Uncle Hussain menjuarai Anugerah Juara Lagu tahun 2008 baharulah ramai orang membuka mata, dan label Indie pun digunakan di akhbar-akhbar dan majalah hiburan.

Dahulu aku agak teruja apabila kumpulan Flop Poppy berjaya ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-17. Aku rasa inilah pertama kali band yang asalnya daripada arena underground menyertai sebarang pertandingan anjuran media mainstream walaupun sebelum ini band-band seperti OAG dan Butterfingers pernah dicalonkan di Anugerah Industri Muzik.

Kemudian kemenangan Meet Uncle Hussain dengan Lagu Untukmu di dalam Anugerah Juara Lagu-23 menjadikan muzik Indie sebagai muzik baharu di Malaysia. Maka berlumba-lumbalah penerbit-penerbit dan pengusaha-pengusaha syarikat rakaman di Malaysia mencari penyanyi dan kumpulan-kumpulan Indie. Muzik Indie boleh jual, mari kita buat album Indie. Sekiranya gagal menemui penyanyi dan pemuzik Indie yang original maka mereka pun mencipta artis Indie mereka sendiri. Maka jadilah artis-artis Indie jelmaan umpama serigala jadian yang menjelma di waktu bulan mengambang setelah digigit serigala yang sebenar.

Sekurang-kurangnya dengan kemunculan artis dan pemuzik Indie ini maka era lagu-lagu mendayu dan meleleh-leleh, meraung-raung sudah pun berakhir. Ya, mungkin muzik sudah berubah, fesyen sudah berubah namun tema lagu masih sama. Masih lagi menceritakan tentang patah hati, ditinggalkan kekasih, cinta tak bersambut dan sebagainya. Pokoknya segala masih sama. Agak kurang lagu-lagu yang bertemakan ketuhanan, keamanan, kasih sayang antara keluarga dan masyarakat dan sebagainya. Jika ada pun lagu-lagu sebegini ia agak sukar untuk diterima oleh pendengar dan sudah pastilah tidak akan mendapat tempat di pertandingan seperti Juara Lagu.

2. Menyaksikan persembahan Search dalam selingan sewaktu menunggu keputusan Juara Lagu, ia benar-benar menggamit nostalgia. Tambahan pula bila melihat Amy dengan imejnya seperti waktu kegemilangan Search dahulu. Meskipun memakai rambut palsu namun itulah identiti Amy yang sebenar. Dan ketika mereka berada di puncak kegemilangan dahulu memang payah hendak melihat aksi mereka di kaca TV disebabkan oleh larangan berambut panjang oleh pihak Kementerian pada waktu itu. Sebuah lagi kumpulan yang menerima nasib yang sama ialah kumpulan Wings. Namun itu tidak menghalang mereka untuk terus maju dan menjadi antara kumpulan rock legenda di Malaysia.

Al-Fatihah buat Tok Mat.

**Gambar pemenang AJL 2009 diambil dari ajl.tv3.com.my. Aku gagal menemui imej Search sewaktu persembahan selingan AJL 2009.

2 ulasan:

diana's delight berkata...

hai..lama x tgk blog ni.
betul lah, masa tgk search nyanyi tu, teringat masa zaman sekolah2 dulu.. banyak nostalgia...

Sebadoh berkata...

Indie dah semakin sell out. Nak mintak perform kat gig pun nak demand tinggi2. Fuck Indie!!!!