Khamis, 14 Januari 2010

Spider-Man tanpa Tobey McGuire dan Sam Raimi


Sam Raimi telah menarik diri dari pembikinan filem Spider-Man 4, pihak Sony Pictures dan Marvel terpaksa membuat reboot untuk filem Spider-Man, dengan barisan pelakon yang baharu. Mungkin agak mengecewakan, namun sebagai peminat setia filem Spider-Man, aku akan tetap menantikan filem ini.

Menurut berita daripada Sony Pictures, filem terbaharu Spider-Man akan berdasarkan pada skrip oleh James Vanderbilt yang mengisahkan tentang seorang remaja bergelut dengan permasalahan manusia dan juga krisis kuasa luarbiasa yang dimilikinya. Sony juga memaklumkan bahawa filem ini juga akan dibintangi oleh pelakon dan krew perfileman yang baharu.

"Sedekad yang lalu kami memulakan perjalanan ini bersama-sama Sam Raimi dan Tobey McGuire dan kami telah menghasilkan tiga buah filem Spider-Man yang telah mencetuskan fenomena baharu untuk kisah superhero itu. Bila kami bermula, tiada siapa pernah membayangkan bahawa kami akan mencipta sejarah pecah panggung dan kini kami mempunyai peluang untuk mencipta sejarah baru dengan francais ini.

"Peter Parker sebagai seorang lelaki yang meningkat dewasa bergelut antara masalah peribadi dengan kuasa luarbiasanya telah menjadi faktor yang menambat hati peminat-peminat filem ini. Kami sangat teruja dengan kemungkinan kreatif yang datang setelah kembali kepada asal-usul Peter Parker dan kami tidak sabar untuk bekerja sekali lagi bersama Marvel Studios, Avi Arad dan Laura Ziskin pada permulaan filem Spider-Man yang baharu ini," kata Amy Pascal, pengerusi bersama Sony Pictures Entertainment.

Pengarah Sam Raimi berkata pengalaman bekerja untuk filem Spider-Man merupakan pengalaman seumur hidupnya. Beliau menambah, "sewaktu kami sedang merancang untuk membikin filem Spider-Man yang keempat, studio dan Marvel mempunyai satu peluang unik untuk membawa francais tersebut ke suatu arah yang baharu, dan saya tahu mereka akan melakukan sesuatu yang hebat."

Perancangan asal menjangkakan filem Spider-Man 4 akan ditayangkan pada tahun 2011, namun Sony menyatakan bahawa tarikh sebenar untuk filem Spider-Man yang baharu masih belum ditetapkan.

Sumber: MSN Entertainment

Tiada ulasan: