Jumaat, 22 Januari 2010

Filem seram di Malaysia, bila nak berubah?

Mungkin ramai yang mengetahui bahawa siri seram Puaka Niyang Rapik yang pernah ditayangkan di TV3 telah pun difilemkan dan akan ditayangkan di pawagam dengan judul Niyang Rapik.

Bermakna dengan penayangan filem Niyang Rapik ini maka bertambah lagilah filem-filem seram Malaysia yang bertemakan hantu, jembalang dan penggunaan ilmu hitam.

Aku tidak membantah sekiranya para pengarah, penerbit atau penggiat filem di Malaysia hendak mengeluarkan filem-filem sebegini, cuma tidakkah mereka ini tahu bahawa ada di kalangan penonton Malaysia yang sudah bosan dengan filem-filem sebegini.

Carilah alternatif lain untuk membikin filem-filem seram. Gunakan kreativiti yang ada untuk mereka filem seram sendiri, yang tidak berimejkan filem-filem seram daripada Korea Selatan dan Jepun.

Adakah filem-filem seram mestinya berkisar pada hantu jembalang sahaja? Bagaimana dengan kisah komputer yang mempunyai kepintaran sendiri (artificial intelligent) yang boleh membunuh manusia, ataupun kesilapan eksperimen yang menghasilkan mutasi kepada haiwan dan membunuh manusia.

Sedangkan filem-filem seram di Korea Selatan juga tidak lagi menumpukan pada hantu wanita berambut panjang sebagai faktor utama filem seram. Filem Chaw misalnya menjadikan babi hutan legenda sebagai watak yang menyeramkan. Begitu juga dengan filem The Host yang mengisahkan tentang rasaksa yang terhasil akibat pencemaran sungai.

Manakala filem Antartic Journal lebih pintar lagi, di mana mood seram ditimbulkan oleh persekitaran dan kesejukan Antartika ditambah pula dengan pengalaman aneh (halusinasi) yang dialami, paranoia dan pergolakan jiwa yang dialami oleh peserta-peserta ekspedisi.

Bagaimanapun terdapat beberapa filem seram yang aku rasakan sebagai penyelamat keadaan, antaranya ialah filem Zombi Kampung Pisang dan Kala Malam Bulan Mengambang. Walaupun kedua-dua filem ini merupakan filem komedi namun masih mempunyai elemen-elemen seram dan suspen yang mampu membuatkan bulu roma meremang. Filem Kala Malam Bulan Mengambang walaupun tetap menampilkan elemen supernatural seperti harimau jadian dan langsuir, namun diselitkan dengan tema konspirasi, kongsi gelap dan juga tentang aktiviti komunis di Tanah Melayu (cuma aku agak kurang setuju dengan imej Nazi yang ditunjukkan, Komunis dan Nazi adalah dua ideologi yang berbeza, namun menurut Mamat Khalid maksudnya tetap sama iaitu keghairahan untuk mendominasi dunia) dan variasi ini menjadikan filem Kala Malam Bulan Mengambang agak unik.

Begitu juga dengan Tower 13 arahan Kabir Bhatia, walaupun ia sebuah siri TV dan tetap mengambil hantu sebagai plot utama tetapi apabila dimasukkan unsur-unsur misteri, jenayah dan kepolisan, menjadikan ia sebuah kisah penyiasatan yang seram. Aku rasakan filem Tower 13 lebih sesuai dijadikan filem kerana ia agak lain daripada filem-filem seram yang ada di Malaysia.

Sekiranya pengarah, penerbit dan penggiat filem Malaysia mahu penonton filem Malaysia menghargai dan menonton filem-filem tempatan, maka berubahlah.

1 ulasan:

RABUN berkata...

aku suka cerita the host tu..


filem yang menarik bergantung pada pengarah dan naskah skrip kat tangan pengarah tu

aku rasa ahmad idham dan karyanyer biasa biasa saja...