Jumaat, 20 November 2009

Iktibar

Kedua-dua berita di bawah ini dicuplik daripada akhbar untuk memberi mesej supaya sentiasa berfikir semasak-masaknya sebelum melakukan sesuatu. Adakalahnya sesuatu itu memang mempunyai sebab yang pasti kenapa ia tidak digalakkan atau dilarang.

Muka bengkak kerana pewarna rambut


SYDENHAM, England - Wajah seorang pelajar wanita di sebuah sekolah di sini, Abigail Colbourne kini seperti 'makhluk asing' kerana bengkak disebabkan alah kepada sejenis pewarna rambut.

Abigail yang berumur 15 tahun mewarnakan rambut perangnya supaya kelihatan hitam tetapi dia tidak melakukan ujian alahan terlebih dahulu.

"Mata saya seperti digam dan kepala saya bengkak. Ia merupakan sesuatu yang amat dahsyat," katanya seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar semalam.

Doktor berjaya mengurangkan bengkak yang dialami oleh Abigail dengan memberikannya ubat tetapi ibunya, Joanna Leech berkata: "Orang ramai sepatutnya mengetahui kesan penggunaan bahan pewarna." - Agensi

Dicuplik dari akhbar Kosmo! 20 November 2009


Terkejut buah dada bengkak, nanah

KUALA LUMPUR - Akibat terlalu ingin penampilan kelihatan seperti lelaki atau 'pengkid', seorang wanita terpaksa menanggung sengsara apabila buah dadanya yang dikecilkan melalui pembedahan membengkak dan bernanah.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Yew, 37, seorang peniaga perabot di Cheras berkata, segala-galanya bermula April lalu apabila dia mengunjungi pusat kecantikan di Subang Jaya dan bertemu pemiliknya untuk bertanyakan mengenai pembedahan itu.

Menurutnya, sejak itu bermulalah episod hitam dalam hidupnya kerana di sebalik kepuasan yang dikecapinya, dia kini dibelenggu kesakitan.

“Ketika itu Nancy (pemilik salun) menunjukkan gambar-gambar kejayaan pembedahan lain sebelum itu serta memberi jaminan pembedahan ini selamat kerana dikendalikan pakar dari Singapura yang melibatkan kos RM12,000.

“Yakin dengan jaminan itu, Nancy membawa saya ke sebuah lagi pusat perubatan di Johor Bahru untuk menjalani pembedahan pada 11 Mei lalu yang mengambil masa selama dua jam dan apabila saya sedar, bahagian yang dibedah itu sudah berbalut,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini, semalam.

Katanya, dia hanya sedar sesuatu tidak kena berlaku apabila balutan itu dibuka seminggu kemudian dan terkejut menyedari kedua-dua puting buah dadanya dipotong doktor tanpa persetujuannya.

“Sebelum pembedahan, doktor tidak memaklumkan kepada saya bahawa puting saya akan dipotong sekali gus menyebabkan saya terpaksa menanggung kesakitan teramat.

“Doktor terbabit dan Nancy pula tidak dapat memberikan penjelasan munasabah berhubung apa yang terjadi kepada saya sebaliknya mereka menolak bertanggungjawab dalam kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, beliau terpaksa mendapatkan rawatan susulan untuk membersihkan luka yang dialaminya di klinik lain.

“Buntu dengan apa yang berlaku, saya membuat laporan di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya serta aduan kepada Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA,” katanya.

Dicuplik dari akhbar Sinar Harian 20 November 2009

Tiada ulasan: