Jumaat, 20 November 2009

Ulama Indonesia sifatkan filem 2012 sebagai provokasi terhadap Islam

Bencana yang digambarkan dalam filem 2012

Filem terbaharu Roland Emmerich telah mendapat sambutan hangat di Indonesia bagaimanapun penayangan filem itu telah dibantah oleh para ulama di Republik itu.

Majelis Ulama Indonesia (MUI) sedang mempertimbangkan sama ada hendak mengeluarkan fatwa atau tidak terhadap filem ini.

Pengerusi MUI, Amidhan memberitahu AFP bahawa perkara yang telah menimbulkan kontroversi tentang filem itu adalah mengenai ramalan Kiamat. Di dalam agama Islam, Kiamat tidak dapat digambarkan atau diramal bila ia akan berlaku kerana ia adalah urusan Tuhan.

Amidhan melahirkan kebimbangan sekiranya gambaran Kiamat dalam filem ini dapat menjejaskan akidah umat Islam.

Beliau juga mendakwa bahawa di dalam filem tersebut ia menunjukkan masjid-masjid yang sedang dimusnahkan dan bukan gereja, walaupun ada adegan menggambarkan keruntuhan gereja Vatican dan patung Christ the Redeemer hancur berkecai.

"Filem tersebut menayangkan semua masjid termasuk Kaabah dibinasakan kecuali gereja-gereja. Filem ini adalah satu provokasi terhadap Islam," Amidhan menyatakan.

"Lembaga penapisan filem Indonesia seharusnya memotong adegan-adegan di mana Kaabah dan masjid-masjid dimusnahkan kerana ia boleh menyinggung perasaan orang Islam di Indonesia."

Bagaimanapun beberapa orang yang telah menonton tayangan perdana filem ini pada hari Khamis telah menyangkal dakwaan MUI.

"Ia adalah sebuah filem yang bagus. Cadangan MUI untuk mengeluarkan fatwa terhadap filem ini adalah kurang tepat. Filem ini telah mengukuhkan lagi keimanan saya," kata Ian Ramelan, 49, seorang broker insurans.

"Saya seorang Islam, keyakinan saya terhadap Allah lebih kukuh setelah menonton filem ini," dia menambah, sambil menyifatkan bahawa kegiatan rasuah yang berleluasa di Indonesia lebih membimbangkan daripada filem bencana Hollywood itu.

Pelajar universiti, Rafi Gamal, 22, pula berkata dia memahami mengapa filem itu dianggap kontroversi kerana ia menggambarkan bahawa manusia dapat meramalkan bilakah berlaku Kiamat sedangkan hanya Allah yang Maha Mengetahui bilakah akan berlaku hari kehancuran tersebut.

"Namun ia hanyalah sebuah filem bencana alam. Di penghujung cerita terdapat mereka yang terselamat dari bencana tersebut. Pada hari Kiamat tiada siapa yang terselamat," katanya.

Menurut pelajar sekolah, Steven Benedictto, 14, filem itu mempunyai mesej yang positif.

"Saya tidak bersetuju dengan MUI yang melarang untuk menonton filem ini. Ia mempunyai satu mesej yang baik di mana kita semua harus insaf dan industri-industri harus mengurangkan aktiviti-aktiviti tidak sihat mereka, seperti pembasmian hutan," katanya.

Berita asal di sini.

Tiada ulasan: