Selasa, 6 Oktober 2009

Gergasi, filem sains fiksyen Melayu pertama?

Pernah tonton filem ini? Filem Gergasi terbitan tahun 1958 yang diarahkan oleh Dhiresh Ghosh. Filem ini telah menjadi kegemaran peribadi kerana aku rasakan inilah filem sains fiksyen Melayu yang pertama pernah dibikin.

Filem ini dilakonkan oleh Hashimah Yon, Aziz Jaafar, Haji Mahadi, Rokiah, S. Kadarisman dan Aziz Sattar. Diterbitkan oleh Run Run Shaw dan merupakan keluaran Shaw Brothers.

Ia mengisahkan seorang pemburu telah bertemu dengan pontianak di dalam sebuah hutan. Pemburu tersebut berjaya memaku tengkuk pontianak itu dan pontianak tersebut bertukar menjadi wanita jelita. Pemburu tersebut kemudian mengahwini wanita itu dan dikurniakan cahaya mata iaitu seorang anak perempuan. Anak tersebut diberi nama Mutiara.

Apabila Mutiara meningkat remaja, Mutiara telah dianugerahkan rupa paras yang jelita dan menjadi kegilaan pemuda di kampungnya. Bagaimanapun Mutiara telah mempunyai kekasih hati iaitu anak kepada Penghulu bernama Guntur.

Seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Doktor sahaja turut menyimpan perasaan terhadap Mutiara. Doktor telah berjaya mencipta sejenis formula yang dapat membesarkan saiz tumbuh-tumbuhan dan juga haiwan. Suatu hari Doktor telah berjaya memujuk seorang budak lelaki ke makmalnya untuk dijadikan bahan ujian.

Doktor telah menyuntik formula tersebut kepada budak lelaki itu dan berjaya menukarkannya menjadi gergasi. Dia ingin menggunakan Gergasi untuk menculik Mutiara.

Mutiara dan Guntur telah bersetuju untuk berkahwin. Namun suatu hari, ketika Mutiara sedang duduk berbual-bual bersama ibunya, Mutiara telah ternampak paku terlekat di leher ibunya. Mutiara kemudian mencabut paku tersebut dan ibunya bertukar kembali menjadi pontianak lalu terbang ke dalam hutan.

Mutiara pula telah diculik oleh Gergasi dan dibawa ke makmal Doktor. Doktor cuba untuk memperkosa Mutiara bagaimanapun telah dihalang oleh pontianak. Doktor mengarahkan Gergasi supaya membunuh pontianak dan berlakulah pertarungan antara pontianak dan Gergasi. Siapa yang menang?

Filem Gergasi pada pendapat aku dipengaruhi oleh filem The House of Frankenstein terbitan tahun 1948 di mana dalam filem ini ketiga-tiga hantu iaitu Dracula, Frankenstein dan Wolf Man telah dipertemukan. Di dalam filem Gergasi juga terdapat tiga watak 'evil' atau hantu ditemukan iaitu pontianak, gergasi dan doktor gila, walaupun dalam filem ini boleh dikatakan pontianak adalah protagonis ataupun berada dalam the good side.

**Imej dari www.sinemamalaysia.com.my

1 ulasan:

Kamsiah yusoff berkata...

thanks for sharing...