Khamis, 8 Oktober 2009

Freddy kembali.....tanpa Robert Englund

Ikon filem seram Freddy Krueger dihidupkan kembali, dalam remake atau reboot Nightmare on Elm Street. Masih di bawah edaran New Line Cinema tetapi di bawah terbitan Platinum Dunes, sebuah syarikat perfileman yang bertanggungjawab melakukan remake kepada filem-filem seram klasik. Setakat ini tiga buah filem seram klasik telah menjadi mangsa remake syarikat ini iaitu The Texas Chainsaw Massacre, Amityville Horror dan Friday the 13th.

Menurut Michael Bay, salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat ini, mereka bertujuan untuk mengembalikan rasa gerun penonton kepada Freddy Krueger di mana ikon seram berkenaan dikatakan sudah pudar akan kengeriannya.

Watak Freddy Krueger dalam reboot Nightmare on Elm Street digambarkan akan lebih menakutkan, lebih mengerikan dan kurang kelakar berbanding watak Freddy Krueger yang dibawakan oleh Robert Englund sebelum ini.

Watak Freddy Krueger untuk filem ini akan dibawakan oleh Jackie Earle Haley. Di dalam filem ini juga akan dipaparkan bagaimana Freddy Krueger dibakar hidup-hidup dan kemudian membalas dendamnya sebagai hantu yang membunuh remaja melalui mimpi mereka.

Filem ini sebenarnya tidak disenangi oleh pengarah asal dan pencipta watak Freddy Krueger iaitu Wes Craven. Wes kesal kerana pihak Platinum Dunes tidak mengambilnya sebagai penasihat teknikal untuk filem ini sedangkan filem ini merupakan ideanya. Bagaimanapun pelakon Robert Englund berpendapat sudah tiba masanya filem ini dibuat remake memandangkan teknologi CGI yang canggih sekarang amat sesuai digunakan untuk menggambarkan dunia mimpi Freddy Krueger.

Filem ini diarahkan oleh Samuel Bayer dan turut dibintangi oleh Rooney Mara yang memegang watak Nancy Thompson. Di dalam filem asal, watak Nancy Thompson dibawakan oleh Heather Langenkamp. Sayangnya tiada pelakon asal filem Nightmare on Elm Street menjadi cameo dalam filem ini. Bagus juga sekiranya Robert Englund, Heather Langenkamp ataupun Johnny Depp muncul sebagai cameo.

Sementara itu, kepada peminat ikon seram Michael Myers dan pengarah Rob Zombie, anda tidak berpeluang untuk menyaksikan sekuel kepada remake filem Halloween di Malaysia. Filem Halloween II arahan Rob Zombie ini telah diharamkan tayangannya di Malaysia akibat memaparkan terlalu banyak aksi ganas dan seks.

TRAILER NIGHTMARE ON ELM STREET

Tiada ulasan: