Selasa, 18 Ogos 2009

Filem yang sesuai ditonton ketika penularan wabak H1N1

Ayah aku pernah berkata, jangan pandang remeh pada filem. Filem boleh mencetuskan propaganda, boleh juga menjadi panduan. Jadi sempena menyambut kedatangan H1N1 (dengarnya akan ada Fasa Kedua pula Oktober ini) apa kata kita menonton sebuah filem yang jalan ceritanya hampir-hampir sama dengan penularan virus yang masih tiada vaksin pencegahan ini.

Outbreak - 1995

Filem ini mengisahkan penularan wabak yang digelar Motaba (wabak fiksyen) yang telah menyebabkan panik di sebuah pekan bernama Cedar Creek di California, Amerika Syarikat.

Virus Motaba (diadaptasi daripada virus Ebola pada dunia realiti) telah ditemui di sebuah kem pelarian di Afrika pada tahun 1967 dan pihak kerajaan telah merahsiakan penemuan virus ini. Kem ini kemudian dibom untuk menghapuskan bukti-bukti kewujudan virus tersebut.

30 tahun kemudian berlaku penularan wabak tersebut di Afrika. Satu pasukan daripada USAMRIID telah dihantar untuk menyiasat mengenai wabak tersebut. Pasukan itu diketuai oleh Kolonel Sam Daniels (lakonan Dustin Hoffman). Mereka telah mengenalpasti virus tersebut sebagai Motaba dan menghantar laporan kepada pihak atasan iaitu Brigadier Jeneral Ford (lakonan Morgan Freeman).

Pada masa yang sama, seekor monyet telah dibawa secara haram dari tempat kejadian ke Amerika Syarikat. Monyet tersebut dibawa ke Cedar Creek oleh seorang lelaki bernama Jimbo (lakonan Patrick Dempsey). Dalam perjalanan, Jimbo telah dijangkiti virus tersebut daripada monyet yang sebenarnya adalah pembawa virus.

Jimbo menghantar monyet tersebut ke sebuah kedai peliharaan haiwan, bagaimanapun tuan punya kedai menyatakan bahawa Jimbo telah membawa monyet yang salah. Monyet yang dipesannya bukan dari jenis itu. Jimbo kemudian melepaskan monyet tersebut ke dalam hutan.
Sewaktu menaiki pesawat ke Boston, Jimbo telah mula menunjukkan tanda-tanda jangkitan. Apabila tiba di Boston, Jimbo telah bertemu dengan teman wanitanya dan mengucupnya, sekaligus menjangkiti teman wanitanya.

Jimbo, teman wanitanya dan juga tuan punya kedai peliharaan di Cedar Creek meninggal dunia. Pihak CDC telah menyiasat kematian ini. Penyiasatan demi penyiasatan dibuat hingga akhirnya mereka menemui punca sebenar iaitu penyakit yang disebarkan oleh virus Motaba.

Wabak tersebut terus menular manakala pihak kerajaan cuba untuk merahsiakan kewujudan virus tersebut dari pengetahuan umum. Sehinggalah keadaan semakin meruncing dan jumlah kematian bertambah.

Filem ini mungkin sebuah fiksyen dan bertujuan untuk hiburan semata-mata. Namun filem ini seolah-olah telah menggambarkan apa yang sepatutnya dibuat sekiranya penularan wabak yang sebenar berlaku (seperti sekarang di mana penularan wabak H1N1 sedang meluas dan Amerika Syarikat merupakan negara yang mempunyai jumlah kematian yang tertinggi).

Juga melalui filem ini aku tertanya-tanya, mungkinkah H1N1 ini bukanlah virus semula jadi, sebaliknya dihasilkan oleh pihak-pihak tertentu? Difahamkan bahawa penularan wabak Selsema Babi pernah terjadi di Amerika Syarikat pada tahun 1976 dan penularan wabak tersebut hanya berlaku di dalam Fort Dix, sebuah pengkalan tentera Amerika Syarikat di New Jersey. Bagaimanapun wabak tersebut hilang begitu sahaja pada 9 Februari setelah bermula pada 19 Januari.

Mungkinkah penularan virus pada tahun 1976 itu merupakan percubaan kepada virus H1N1 yang ada sekarang di mana ia lebih 'ganas' dan canggih. Difahamkan, virus H1N1 yang sedang menular sekarang merupakan hibrid kepada empat jenis virus influenza iaitu North American Mexican Influenza, North American Avian Influenza, influenza manusia dan influenza babi.

Mampukah virus-virus ini bergabung secara sendiri atau ada 'jurutera' yang bertanggungjawab menghasilkannya? Kita memang tidak boleh menolak bahawa segalanya telah ditakdirkan namun sudah menjadi kelaziman setiap yang terjadi itu pasti ada puncanya. Dan dengan mengetahui puncanya baru kita boleh mencari penyelesaiannya.

2 ulasan:

~PakKaramu~ berkata...

Salam ziarah dan salam ramadan al mubarak

zulazahari berkata...

PakKaramu,

Salam Ramadan kembali