Khamis, 16 Julai 2009

Top 10 penjahat yang aku suka


10. Norman Osborn (Spider-Man)
Di dalam filem, Norman Osborn digambarkan sebagai seorang saintis dan tokoh korporat yang berjaya. Memiliki Oscorp, sebuah firma yang membuat penyelidikan dan senjata untuk kerajaan. Norman bersama-sama Dr. Mendel Stromm telah berjaya menghasilkan sejenis serum yang menjadikan seorang manusia itu memiliki kekuatan luar biasa. Norman telah menguji serum itu kepada dirinya sendiri menjadikannya seorang manusia yang mempunyai kekuatan namun disebaliknya serum itu telah menjejaskan mentalnya menjadikan Norman seorang yang hilang pertimbangan. Kebetulan pula syarikatnya Oscorp menghadapi masalah apabila pihak kerajaan menyerahkan kontrak kepada syarikat pesaing iaitu Quest Aerospace manakala lembaga pengarah Oscorp mahukan Norman melepaskan jawatan sebagai CEO Oscorp. Norman telah mencipta sejenis sut khas dan kenderaan yang dipanggil Goblin Glider dan Norman menjadi penjahat dikenali sebagai Green Goblin. Norman/Green Goblin akhirnya mati di tangan Spider-Man.


9. Jason Voorhees (Friday the 13th)
Yang aku maksudkan adalah Jason dalam franchise Friday the 13th yang original, bukan yang telah di remake baru-baru ini. Jason umpama mesin pembunuh yang hanya tahu membunuh, seolah-olah diprogram hanya untuk membunuh. Sebenarnya Jason Vorhees tidak mempunyai sebarang personaliti walaupun ada cubaan untuk menjadikan watak ini umpama Norman Bates dalam filem Psycho, seorang yang menjadi psiko akibat didera secara mental oleh ibunya sendiri.


8. Jack Torrance (The Shining)
Jack Torrance merupakan watak yang diperkenalkan oleh Stephen King dalam novelnya The Shining. Di dalam novel Jack adalah seorang guru dan penulis yang cuba untuk memperbaiki kembali hubungannya bersama keluarganya yang hampir musnah akibat sikapnya yang panas baran dan kaki botol. Jack meninggalkan tabiatnya yang suka minum arak dan merancang percutiannya bersama keluarga ke Colorado, Amerika Syarikat. Mereka menginap di sebuah hotel di sana. Bagaimanapun hotel itu sebenarnya berhantu dan anaknya Danny, seorang yang memiliki keupayaan telepatik telah mengesan kehadiran hantu tersebut. Danny telah berkawan dengan hantu itu yang dipanggilnya Tony. Keadaan menjadi teruk apabila Jack dirasuk oleh salah satu hantu yang berkeliaran di hotel tersebut. Dengan sikap panas baran Jack yang masih belum hilang, dipandu pula oleh semangat hantu yang membunuh menjadikan Jack bukan lagi seperti seorang manusia. Dia cuba membunuh isteri dan anaknya. Isteri dan anaknya berjaya melarikan diri daripada hotel itu sebaliknya Jack terperangkap dan akhirnya menjadi penghuni tetap hotel itu.


7. Harry Osborn (Spider-Man 1, 2 dan 3)
Walaupun dalam filem Spider-Man 3 Harry akhirnya menjadi 'good guy' semula, namun aku suka dengan Harry kerana pergolakan jiwanya hampir-hampir menyamai aku. Maksudnya, Harry boleh menjadi orang baik dan orang jahat pada masa yang sama, begitu juga aku yang kadangkala gagal membuat keseimbangan dalam diri (bahaya ni).


6. Alice (Transformers: Revenge of the Fallen)
Watak ini merupakan yang paling baru, diperkenalkan dalam filem Transformers: Revenge of the Fallen. Hampir menyamai robot T-X dalam filem Terminator 3: Rise of the Machines dan watak robot TOK715 (dikenali juga sebagai Cameron) dalam mini siri Terminator: The Sarah Connor Chronicles. Watak Alice dijayakan oleh Isabel Lucas. Nama untuk watak ini diambil dari nama Alice dalam kisah Alice in Wonderland. Alice merupakan robot Decepticons (dikenali juga sebagai Pretenders) yang menyamar menjadi pelajar kolej. Misinya untuk menjejaki dan mengawasi Sam Witwicky. Rahsianya terdedah apabila dia cuba hendak membunuh Sam, Mikaela dan Leo. Alice berjaya dihapuskan apabila Mikaela merempuhnya dengan kereta dan menggilis tubuhnya hingga hancur.


5. Darth Vader (Star Wars)
Darth Vader mula diperkenalkan dalam franchise Star Wars yang dimulakan pada tahun 1979. Ketika itu Darth Vader digambarkan sebagai seorang pemimpin yang kejam yang hanya menurut arahan ketuanya iaitu Emperor Palpatine. Darth Vader memerintah empayar yang dikenali sebagai Galactic Empire dan memburu serta menghapuskan kumpulan pemberontak yang dikenali sebagai Rebel Alliance. Antara mereka yang diburu ialah seorang lanun bernama Han Solo dan seorang aprentis Jedi bernama Luke Skywalker. Di dalam sekuel untuk Star Wars iaitu The Empire Strikes Back, Darth Vader telah mendedahkan kepada Luke bahawa dia adalah ayah kandungnya. Akibat populariti filem The Empire Strikes Back, pengarah filem ini George Lucas telah merangka watak untuk Darth Vader, bermula dari zaman kanak-kanaknya sehingga kepada waktu dia terjerumus ke dalam lembah kegelapan. Maka terhasillah trilogi prekuel untuk Star Wars iaitu Episode I, II dan III. Darth Vader pada asalnya adalah seorang pahlawan Jedi bernama Anakin Skywalker yang akhirnya terpengaruh dengan kuasa jahat dan mengkhianati peraturan Jedi. Akhirnya Anakin menjadi pengikut Senator Palpatine yang juga dikenali sebagai Darth Siddious dan Darth Siddious menukar Anakin Skywalker menjadi Darth Vader.


4. T-101 (The Terminator)
Robot pembunuh pertama yang diperkenalkan dalam franchise The Terminator (dijayakan oleh Arnold Schwarzenegger). Misi utama robot ini adalah untuk membunuh Sarah Connor. Disebabkan oleh program 'menghapuskan Sarah Connor' T-101 akan melaksanakan misinya dengan membunuh Sarah Connor tanpa mengira siapakah dia walaupun seekor kuda bernama Sarah Connor. Tujuan mengapa T-101 diprogramkan untuk menamatkan riwayat Sarah Connor supaya Sarah tidak dapat melahirkan zuriatnya, John Connor, yang menjadi pemimpin manusia di kala peperangan antara manusia dan robot.


3. Lord Voldermort (Harry Potter)
Seorang ahli sihir yang jahat yang telah membunuh ibu bapa Harry. Dan mengikut ramalan, hanya Harry Potter yang dapat menewaskannya, menyebabkan pembunuhan ibu bapa Harry Potter sebagai jalan kepada pertemuan Lord Voldermort dan Harry Potter. Lord Voldermort digelar sebagai ahli sihir yang paling kejam dan jahat untuk beratus-ratus tahun. Lord Voldermort juga digambarkan sebagai seorang yang tidak berperikemanusiaan, tidak memperdulikan mangsanya sama ada lelaki, wanita dan juga kanak-kanak. Bagaimanapun Lord Voldermort juga mempunyai ketakutan, iaitu maut.


2. Hannibal Lecter (Manhunter, The Silence of the Lambs, Hannibal, Red Dragon, Hannibal Rising)
Watak Hannibal Lecter diperkenalkan oleh penulis Thomas Harris dalam novelnya Red Dragon. Bagaimanapun watak Hannibal di dalam novel ini agak kecil kerana watak utama ialah Will Graham, seorang agen FBI yang sedang memburu seorang pembunuh bersiri dikenali sebagai The Tooth Fairy. Hannibal Lecter telah membantu Will Graham untuk menjejaki pembunuh tersebut. Michael Mann telah mengadaptasi novel ini menjadikan filem berjudul Manhunter. Filem ini merupakan filem pertama yang menampilkan watak Hannibal Lecter (di dalam filem ini dikenali sebagai Hannibal Lecktor) di layar perak. Watak Hannibal telah dijayakan oleh Brian Cox. Lima tahun kemudian watak Hannibal Lecter kembali ditampilkan ke layar perak dan dijayakan oleh Sir Anthony Hopkins dalam filem The Silence of the Lambs. Filem ini telah berjaya menaikkan populariti Hannibal Lecter sebagai salah satu antihero yang paling diminati. Hannibal Lecter digambarkan sebagai seorang doktor yang berjaya, terpelajar, memiliki personaliti menarik namun mempunyai sisi gelap sebagai seorang kanibal. Hannibal mula mempunyai sifat kanibalistik dan kecenderungan untuk membunuh setelah mengalami pengalaman pahit sewaktu kanak-kanak ketika Perang Dunia Kedua (juga membalas dendam atas kematian adiknya, Mischa).


1. The Joker (Batman, The Dark Knight)
The Joker merupakan watak penjahat kegemaran aku tidak kira sama ada dalam komik mahupun di layar perak kerana Joker mempunyai kecenderungan untuk membunuh dan menjadikan sesuatu pembunuhan itu sebagai suatu jenaka. Watak The Joker telah dicipta oleh Bill Finger yang mendapat inspirasi daripada watak Gwynplaine yang dilakonkan oleh Conrad Veidt dalam filem The Man Who Laughs (1928). Watak The Joker mula diperkenalkan ke layar perak oleh Tim Burton pada tahun 1989 dalam filemnya Batman. Watak The Joker telah dijayakan oleh Jack Nicholson (yang pernah memegang watak sebagai psikotik Jack dalam filem The Shining). Boleh dikatakan pengalamannya membawakan watak Jack dalam The Shining telah membantunya menjayakan watak Joker, seorang penjenayah psiko yang telah membuat kekacauan dan kerosakan di bandar Gotham. 19 tahun kemudian watak Joker kembali ditampilkan di layar perak, kali ini dilakonkan oleh Heath Ledger yang telah membuat transformasi kepada watak Joker itu sendiri. Tiada senjata canggih dan pelik (seperti dalam komik dan dalam filem Batman arahan Tim Burton) watak Joker di dalam filem The Dark Knight lebih kepada realiti. Joker digambarkan sebagai mangsa penderaan (apabila menceritakan kepada mangsanya bagaimana mulutnya ditoreh menyebabkan dia sentiasa 'tersenyum' dan akan melakukan perkara yang sama kepada mangsanya). Terdapat persamaan antara watak Gwynplaine dengan Joker di sini. Jika di dalam komik dan di dalam filem Batman (1989) Joker menyalahkan Batman atas kecacatan fizikalnya, di dalam filem ini pula Joker menyalahkan Batman yang disifatkannya sebagai 'terlalu sempurna'.

1 ulasan:

cerpelai berkata...

Nampaknya supervillain terutama bro sama dengan gua.. Memang gua cukup minat dengan watak Joker terutamanya yang dibawakan oleh mendiang Heath Ledger..

Apa yang gua suka tentang dia ialah, tiada apa dan siapa yang boleh mempergunakan dirinya serta boleh menjadikan dirinya tunduk pada sesiapa..

Begitu juga sebaliknya.. Joker digambarkan sebagai seorang yang cenderung untuk menjadikan dirinya sebagai 'true villain' di bandar Gotham.. Dia tidak memandang wang sebagai matlamat menjadikan dirinya kebal dari kelemahan..

Kalau betul wujud Joker dalam dunia, sememangnya dialah penjahat yang paling sukar ditewaskan..