Rabu, 22 Julai 2009

Bila emosi menguasai diri

Menonton filem ini umpama refleksi terhadap diriku sendiri. Aku tidak nafikan adakalanya kita akan bertindak keterlaluan apabila kita sudah tidak dapat menyeimbangkan yang mana positif dan yang mana negatif dalam diri kita. Selalunya kita akan mengikut apa sahaja yang terlintas di hati (dan itu bahaya).

Falling Down merupakan sebuah filem terbitan tahun 1993 yang diarahkan oleh Joel Schumacher dan dibintangi oleh Michael Douglas. Secara peribadinya filem ini merupakan filem kegemaran aku.

Ia mengisahkan akan pergolakan jiwa seorang jurutera bernama William Foster (lakonan cemerlang oleh Michael Douglas) yang menghadapi masalah dengan isterinya, sekaligus menjejaskan kerjanya. Kebetulan pula pada waktu itu cuaca panas sedang melanda Los Angeles, seakan-akan simbolik kepada darah Foster yang sedang menggelegak.

Bagaikan dipermainkan, ada sahaja perkara yang mengganggu Foster. Bermula dengan kesesakan lalulintas yang menyebabkan keretanya rosak dan tidak boleh dihidupkan. Akhirnya Foster meninggalkan sahaja keretanya di tengah jalan dan berjalan kaki untuk menghadiri majlis sambutan hari jadi anaknya, Adelle meskipun dia telah mendapat perintah mahkamah untuk menjauhkan diri daripada isteri dan anaknya.

Kemudian kesabaran Foster teruji lagi apabila dia tidak dapat menukar duitnya untuk membuat panggilan telefon. Tuan punya kedai yang juga pemilik telefon mahu dia membeli barang daripada kedainya sebagai cara untuk menukar duit. Sebotol Coca-Cola dengan harga yang tinggi sekali lagi menaikkan darah Foster menyebabkan dia mula meninggikan suara kepada tuan punyai kedai. Tuan punya kedai mengeluarkan kayu besbol sebagai tanda amaran tetapi kayu tersebut dirampas oleh Foster dan memecahkan beberapa barangan yang terdapat di dalam kedai itu. Foster kemudian hanya membayar sebanyak 50 sen untuk sebotol Coca-Cola yang berharga 80 sen dan berkata dia hanya membayar mengikut kadar yang ditetapkan pada tahun 1965 dan apakah yang mahu dilakukan oleh tuan punya kedai itu. Foster kemudian berlalu pergi sambil membawa kayu besbol tersebut.

Perjalanan cerita selanjutnya melihatkan bagaimana Foster akan menemui pelbagai halangan dalam perjalanan ke rumah isterinya. Dia terpaksa berhadapan dengan sekumpulan samseng kulit hitam (kebetulan latar masa filem ini berlaku pada tahun 1992 sewaktu perselisihan kaum antara Kulit Hitam dan Kulit Putih sedang berlaku). Foster juga mengamuk dalam sebuah restoran makanan segera apabila menerima hidangan yang dipesannya tidak seperti yang terdapat dalam iklan promosi.

Filem ini diakhiri dengan adegan tragik antara Foster dan Sgt. Prendergast yang memburunya. Apakah adegan tersebut, aku tidak akan membuat spoiler di sini. Carilah filem ini yang mana aku yakin masih terdapat di pasaran.

3 ulasan:

Abang Ben berkata...

memang best cerita ni... pissed off!

INDRA QIRANA berkata...

ganas woo

zulazahari berkata...

Indra Qirana,

Thanx for dropping by, ko punya lukisan mmg masterpiece.