Jumaat, 3 Julai 2009

Peperangan mereka, dunia kita

Anda pernah menaiki roller-coaster? Aku tak pernah sebab aku takut, hehe......cuma dengar pengalaman mereka yang pernah menaikinya. Dan aku rasakan begitulah perasaannya apabila menonton filem Transformers: Revenge of the Fallen, seperti menaiki roller-coaster.

Kisah persengketaan dua puak robot iaitu Autobots dan Decepticons ini mula diperkenalkan kepada kanak-kanak (khususnya lelaki) dalam bentuk action figures oleh Hasbro Toys lewat tahun 80'an. Tujuannya untuk menyaingi penjualan anak patung Barbie yang popular di kalangan kanak-kanak perempuan. Selain daripada Transformers, Hasbro turut memperkenalkan action figures G.I. Joe (gabungan kedua-dua watak dari siri Transformers dan G.I. Joe pernah dibikin oleh Dreamwave Comics sekitar tahun 2003).

Akibat sambutan menggalakkan kepada watak-watak Transformers ini maka Marvel Comics telah mengadaptasikan watak-watak ini ke dalam komik dan siri animasi TV. Maka fenomena Transformers bermula. Filem pertama Transformers berjudul Transformers The Movie diterbitkan pada tahun 1986 bagaimanapun dalam bentuk animasi.

Apabila filem Transformers diarahkan oleh pengarah filem Michael Bay, ia seakan-akan satu kombinasi yang sempurna. Sebuah filem sains fiksyen mengenai persengketaan dua puak robot, digarap oleh pengarah yang terkenal dengan filem aksi fast-paced, apa lagi yang hendak dikata. Filem pertama Transformers telah mencatat kutipan box-office yang berjaya mengatasi kutipan filem Spider-Man 2.

Kini sekuelnya, Transformers: Revenge of the Fallen dijangka akan mengulangi kejayaan filem Transformers. Walaupun pada aku, Revenge of the Fallen lebih ganas daripada filem Transformers, namun apalah ertinya filem aksi peperangan sekiranya tidak diisi dengan adegan keganasan.

Bagaimanapun aku seakan-akan mendapat deja-vu. Ada adegan yang pernah aku tonton sebelum ini. Ada adegan yang similar dengan adegan dalam filem Armageddon, Pearl Harbor, juga watak robot yang menyamar sebagai gadis jelita seakan sama dengan watak T-X dalam filem Terminator 3, ada juga adegan yang seakan-akan dari filem seram Species. Ah, kolej itu, dengan patung Marcus Brody, di mana pernah aku tonton? Oh ya, Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull.

Kepada yang belum menonton filem ini, pergilah menonton untuk menikmati kesan bunyi yang hebat, animasi CGI yang canggih dan kisah pengembaraan yang mendebarkan. Moral daripada cerita ini hanya satu sahaja yang aku perolehi, iaitu kita akan bersatu apabila mendapat ancaman daripada luar, itu pun masih belum pasti lagi. Ah, pedulikan soal falsafah, just enjoy the movie!

Tiada ulasan: