Jumaat, 3 Julai 2009

Menerokai dunia pontianak dan zombie

Filem-filem pontianak dan vampire seakan-akan satu produk yang wajib dikeluarkan oleh penggiat filem di barat. Di Malaysia, pawagam baru sahaja menayangkan filem Blood: The Last Vampire yang tak sempat aku tonton. Terkini, dua buah filem mengenai pontianak terbaharu bakal mengunjungi pawagam ataupun kedai DVD di Malaysia.

Filem pertama ialah sebuah filem apokaliptik seram berjudul Daybreakers. Filem ini ditulis dan diarahkan oleh Peter dan Michael Spierig. Ia mengisahkan dunia dilanda wabak (bukan H1N1) pada tahun 2019 yang mengakibatkan manusia dahagakan darah dan menjadi pontianak. Akibatnya populasi pontianak bertambah di dunia dan menjadikan manusia sebagai sumber bekalan darah. Bagaimanapun, sekumpulan pontianak cuba mencari penawar wabak ini dan menyelamatkan manusia daripada pupus. Filem ini dibintangi oleh Ethan Hawke, Sam Neill, Willem Dafoe, Claudia Karvan, Vince Colosimo dan Isabel Lucas.

Filem kedua pula merupakan sinambungan kepada filem Twilight iaitu New Moon. Ia berdasarkan pada novel dengan judul yang sama karya Stephanie Meyer yang mana kali ini ia akan menampilkan serigala jadian. Ia mengisahkan Edward Cullen, kekasih kepada Isabella menamatkan hubungannya dengan Isabella demi keselamatannya. Untuk mengubati kesedihannya, Isabella melibatkan diri dalam aktiviti lasak seperti menunggang motosikal. Isabella bertemu dengan Jacob Black, seorang pemuda yang sebenarnya adalah serigala jadian. Jacob telah melindungi Isabella daripada serangan dua pontianak yang ingin membalas dendam atas kematian James, yang mana telah dibunuh oleh Edward Cullen dalam filem Twilight. Filem ini dibintangi oleh Kristen Stewart, Robert Pattinson dan Taylor Lautner. Filem ini diarahkan oleh Chris Weitz.

Sementara itu peminat filem zombie, nantikan sebuah filem komedi seram berjudul Zombieland. Filem ini mengisahkan sekumpulan manusia yang terselamat daripada jangkitan zombie menyelamatkan diri di sebuah taman tema yang ditinggalkan. Mereka telah dipimpin oleh seorang lelaki yang pakar tentang zombie bernama Tallahassee. Filem ini dibintangi oleh Woody Harrelson, Jesse Eisenberg, Emma Stone, Mila Kunis dan Bill Murray. Filem ini diarahkan oleh Ruben Fleischer.

TRAILER DAYBREAKERS

TEASER NEW MOON

TRAILER ZOMBIELAND

Tiada ulasan: