Khamis, 30 Julai 2009

Ia semakin mengganas

Mungkin tidak keterlaluan bagi aku untuk mengatakan bahawa H1N1 telah menjadi ancaman bagi negara sekarang. Nampaknya seolah-olah virus maut ini enggan meninggalkan kita, malahan terus menular sehingga menyebabkan jumlah kematian semakin meningkat. Setakat ini di Malaysia empat kematian telah dilaporkan.

Cuma yang aku kurang faham mengapa apabila virus ini dikesan di sesuatu tempat atau kawasan misalnya di Institusi Pengajian Tinggi, mengapa mesti pelajar-pelajar dan penghuni kawasan tersebut dilepaskan pulang ke rumah? Kenapa tidak dikuarantin sahaja di kawasan itu untuk menghalang daripada virus tersebut tersebar lebih luas?

Manakala kita pula seolah-olah tidak menghiraukan akan kehadiran virus ini. Kita masih dengan kesibukan kita, masih lagi berbalahan sesama sendiri, masih lagi mencipta musuh-musuh baru. Aku rasakan sudah tiba masanya untuk kita memakai topeng setiap kali mengunjungi tempat-tempat awam seperti pasaraya, pawagam mahupun sewaktu keluar bekerja.

Aku juga hairan kenapa para-para ulama dan pihak Jabatan Agama tidak mengadakan Solat Hajat di setiap masjid di seluruh negara untuk memohon agar virus maut ini tidak lagi mengancam nyawa manusia. Takkan bila ada VIP yang dipenjarakan atau sewaktu hendak pilihanraya sahaja kita memenuhi stadium untuk mengadakan Solat Hajat.

Mahu tidak mahu, Influenza A, Selsema Babi ataupun H1N1 telah bersama-sama kita sekarang dan penjagaan kesihatan memang amat penting bagi kita untuk menghindari dari jangkitan virus ini. Sekurang-kurangnya kita telah pun berusaha. Mungkin juga ini petanda bagi kita untuk memperbanyakkan amal ibadat dan lebih gigih lagi untuk mengekalkan solat lima waktu. Sekurang-kurangnya apabila kita 'dijemput' kita telah pun bersedia.

1 ulasan:

Ashraf Fareeq berkata...

Sekali entri sama lah pulak.
haha.