Selasa, 28 Julai 2009

Filem terakhir mendiang David Carradine

Filem Autumn telah pun siap pembikinannya dan akan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi. Di Malaysia aku tidak pasti sama ada akan ditayangkan di pawagam ataupun dikeluarkan dalam format DVD kerana filem Autumn adalah produksi Kanada, bukan Hollywood.

Menariknya, filem bergenre seram ini merupakan salah satu filem terakhir lakonan David Carradine, sebelum pelakon ini ditemui mati di sebuah hotel di Bangkok, Thailand. Selain daripada David Carradine, filem ini turut dibintangi oleh Dexter Fletcher dan Dickon Tolson.

Filem ini diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama karya David Moody. Ia mengisahkan sejenis virus misteri telah tersebar dan telah meragut nyawa ramai penduduk dunia. Pesakit yang dijangkiti virus ini akan mengalami kematian yang amat dahsyat.

Di Kanada, beberapa orang yang terselamat terpaksa bekerjasama di dalam satu kumpulan demi memastikan keselamatan nyawa mereka. Mereka diketuai oleh Michael, seorang konsultan komputer dan Carl, seorang mekanik yang panas baran.

Apabila mereka meninggalkan kampung halaman mereka menuju ke pekan yang berhampiran, peristiwa ngeri pun bermula. Mayat-mayat pesakit yang dijangkiti virus mula hidup dan mencari mangsa. Mereka telah menjadi sasaran dan buruan mayat-mayat hidup itu.

Mampukah mereka menyelamatkan diri dari menjadi habuan mayat-mayat hidup tersebut?

Filem ini diarahkan oleh Steven Rumbelow.

Tiada ulasan: