Jumaat, 5 Jun 2009

Evolusi muzik dalam diri bahagian keempat

Ketika aku memulakan tugas di tempat baru, filem-filem bercorak superhero dan ada feel Grunge, Gothic dan Metal sedang hangat di pasaran. Antara filem-filem itu ialah The Crow, Spawn, Judgement Night, Singles dan My So-Called Life (My So-Called Life merupakan soap opera TV memaparkan dunia remaja seperti Beverly Hills 90210, cuma My So-Called Life memaparkan kisah remaja dalam golongan pertengahan, berbanding Beverly Hills 90210 yang memaparkan kehidupan remaja dalam dunia kemewahan).

Filem-filem ini telah menghasilkan runut bunyi yang menghimpunkan beberapa pemuzik dari genre Alternatif, Grunge, Hardcore dan Metal. Aku memang meminati album soundtrack sebegini kerana ia adalah kompilasi pemuzik-pemuzik dan artis yang aku minati. Rupanya Shah perasan akan hal ini bila dia ternampak kaset soundtrack untuk My So-Called Life di atas mejaku. Dia bertanya adakah aku minat muzik-muzik underground? Apabila aku mengakuinya, dia mempelawa aku ke studio jamming kawannya di Waller Court, Ipoh.

Shah telah memperkenalkan aku bagaimana kehidupan pemuzik-pemuzik underground. Dia telah mengenalkan aku dengan kawan-kawannya seperti Meor (band Carbon 13), Ducktoi (band Muck), Jay dan Chain (Bloody Mary) dan Scoot. Setiap kali apabila aku tension kerana kerja, maka Bodysurf Studio tempat aku melepaskan tekanan.

Walaupun aku meminati muzik, namun aku gagal menguasai sebarang instrumen muzik. Aku pernah cuba belajar bermain gitar suatu masa dahulu namun sampai pecah-pecah jari aku masih tak dapat bermain gitar dengan baik. Begitu juga dengan drum, sampai pecah drum aku bantai (waktu itu di studio jamming di Bazar Bulat). Jadi aku cuma dengar sahajalah.

Shah pula lebih cenderung kepada muzik-muzik Metal malahan dia turut mempunyai labelnya sendiri iaitu Misery Records. Shah juga telah menerangkan kepadaku tentang subgenre yang terdapat dalam muzik Metal. Muzik Metal terbahagi kepada Glam Metal, Heavy Metal, Thrash Metal, Death Metal, Black Metal, Doom Metal, Gothic Metal dan Hardcore. Shah juga memberi beberapa kaset kumpulan Metal Barat untuk aku dengar antaranya seperti In Flames, Theater of Tragedy, Dark Tranquility, Tiamat, Cradle of Filth, Children of Bodom dan banyak lagi. Ada antara band tersebut yang tidak asing bagiku seperti In Flames dan Cradle of Filth. Namun aku agak kurang meminati muzik-muzik Black Metal ini, tetapi tiada masalah untuk menerima muzik Death dan Heavy Metal. Sehingga kini aku meminati band In Flames dan HammerFall.

Shah juga memperkenalkan aku dengan band-band Metal tempatan seperti Sil Khannaz, Langsuyr, Hayagriva, Pyron dan band di bawah labelnya iaitu Enthrone Falls. Band Sil Khannaz tidak asing bagiku kerana aku pernah mendengarnya selepas keluar dari sekolah menengah dahulu apabila ledakan muzik Metal tempatan melanda negara, antaranya kemuculan band-band Metal tempatan seperti Suffercations, Modar, Cromok, FTG dan Sil Khannaz sendiri.

Bersambung lagi.....

2 ulasan:

Dr. Bentara berkata...

huhuhu... ada juga mention nama Langsuyr ye...

zulazahari berkata...

Heheh....mestilaa, Langsuyr kan legend