Khamis, 4 Jun 2009

Evolusi muzik dalam diri bahagian ketiga

Setelah merasa agak tertekan bertugas di sekolah tersebut, aku mengambil keputusan untuk mencari kerja lain. Apa tidaknya, sudahlah menghadapi tekanan daripada staff dan tenaga pengajar yang lain, para pelajar pun tidak kurang juga kerenahnya, gara-gara ternampak aku berjalan di pekan dengan memakai jeans dan t-shirt, itu pun menjadi bahan bualan di sekolah. Mujur tak terserempak aku berjalan bersama awek, kalau tidak tentulah aku menjadi gossip of the year.

Cuma yang menariknya, di sini aku discover tentang irama Nasyid yang pada pendapat aku boleh menjadi suatu fenomena di Malaysia. Ketika itu kumpulan Raihan, Brothers, Rabbani dan Hijjaz masih belum memasuki arena muzik mainstream. Kumpulan-kumpulan Nasyid hanya aktif dan popular di kalangan penuntut-penuntut sekolah dan institusi agama. Di sekolah ini aku mengenali kumpulan-kumpulan Nasyid seperti Nada Murni, Mirwana (bekas kumpulan kepada penyanyi Faizal Tahir), Bangsar Boyz (bekas kumpulan kepada penyanyi Zahid AF) dan sebagainya. Istimewanya lagu-lagu Nasyid ini hanya menggunakan drum dan percussions dan tidak menggunakan alat muzik yang bertali, namun masih mampu menghasilkan lagu dan irama yang sedap didengar. Aku pernah berkata kepada salah seorang guru di situ "kenapa tak gunakan drum set yang betul je, tentu lebih sedap daripada gunakan kompang dan rebana, ataupun guna sahaja drum machine?" Itu cadangan yang aku berikan tetapi dibalas dengan pandangan yang aku pun tak pasti sama ada hairan, pelik ataupun marah. Selepas itu aku lebih banyak mendiamkan diri kerana aku tidak begitu difahami di sini rupanya.

Kumpulan Bangsarboyz (foto dari blog Bangsarboyz)

Izin Allah, aku mendapat tawaran daripada sebuah syarikat telekomunikasi yang terbesar di negara. Tiba-tiba hati aku pula berbelah bagi sama ada ingin kekal di sekolah ini atau melangkah ke alam yang baharu. Sebelum ini aku pernah menolak tawaran daripada Jabatan Luar Negeri gara-gara kerana tidak mahu bekerja di luar negeri (sebenarnya alasan kerana dalam hati tetap ada perasaan sayang kepada sekolah ini) namun kerana cultural differences antara aku dan sekolah ini maka eloklah aku meneroka bidang yang lain pula.

Maka aku pun menjejakkan kaki ke bidang yang berlainan, bidang teknikal dan telekomunikasi. Lagi sekali aku terkena kejutan budaya kerana kalau sebelum ini aku telah bergaul dengan mereka yang berada di bahagian positif, aku seakan-akan mencampakkan diriku ke bahagian yang negatif pula. Di sini baharu aku tahu siapa itu rakan, siapa itu lawan, siapa itu pengampu. Susahnya nak mencari orang yang sekepala, lebih-lebih lagi yang meminati muzik seperti aku.

Walaupun kebanyakan staff di sini umurnya lebih kurang sebaya dengan aku, namun aku agak sukar untuk bercampur dengan mereka. Mungkin kerana citarasa dan gaya hidup mereka. Kebanyakan staff-staff muda ini lebih suka mengurat, merempit dan berpoya-poya manakala staff-staff lama pula lebih suka berpolitik. Aku merasakan seolah-olah lari dari kandang harimau masuk ke kandang singa. Aku cuba mencari kerja lain pula.

Namun mungkin rezeki aku telah ditetapkan di sini, kebanyakan kerja yang aku pohon gagal. Akhirnya aku bertemu dengan Shah, seorang staff di sini yang mempunyai minat lebih kurang sama denganku. Shah juga telah memperkenalkan aku dengan kawan-kawannya yang merupakan pemuzik underground.

Akan disambung lagi.......

Tiada ulasan: