Rabu, 3 Jun 2009

Evolusi muzik dalam diri bahagian kedua

Setelah meninggalkan sekolah, industri muzik di Malaysia mula jadi tak tentu arah. Kumpulan Wings, Search, Lefthanded mula bergolak dan mengalami perpecahan. Lagu-lagu Rock pun sudah mula berubah, tiada lagi lagu yang betul-betul Rock seperti yang pernah didengari ketika kegemilangan Rock tahun 80'an dahulu. Segalanya menjadi lembap selembapnya.

Di saat ini juga beberapa kumpulan muzik yang memperjuangkan genre selain dari Rock iaitu Rap, Hip-Hop dan R&B muncul. Pada mulanya aku agak lemas juga melihat aksi 4U2C di dalam televisyen. Kumpulan apa ni? Terhenjut-henjut macam hantu pocong, dah lah pakai baju hujan. Dikatakan membawakan genre Rap, aku selalu menonton klip video Rappers dari Barat seperti MC Hammer, Vanilla Ice, Run DMC, tak pulak macam ni.

Kemudian muncul pula kumpulan KRU yang membawakan rentak muzik yang agak berlainan daripada 4U2C. Ada feel Rock dalam lagu-lagu mereka, terutama dalam album pertama mereka Canggih yang menampilkan sampling untuk lagu Smoke on the Water daripada Deep Purple.

Apabila KRU muncul dengan album kedua ReKRUed, feel Rock itu lebih terasa, terutama dalam lagu IRA (Intelligent Rock/Rap Association) yang turut menampilkan bekas gitaris Lefthanded iaitu Man Kidal (ditulis Man Keedal dalam layout album). Sejak itu KRU berada di dalam list band yang aku minati, meskipun aku tidak berubah menjadi Rappers.

Itu prinsip aku sebenarnya. Muzik adalah muzik. Jangan terpengaruh dengan ideologi yang ditampilkan bersama muzik tersebut. Memang, setiap muzik itu ada ideologi dan pengaruhnya yang tersendiri.

Apabila aku menjadi kakitangan dan tenaga pengajar sebuah sekolah agama di Perak, aku seakan-akan terkena kejutan budaya. Walaupun aku cuma kakitangan dan bukan pelajar sekolah ini, tempiasnya tetap terkena kepada aku. Rupanya segala gerak geriku diperhatikan. Pertama sekali fesyen rambutku. Walaupun rambutku tidaklah sepanjang rambut Awie ataupun Amy Search sekitar tahun 90'an, ia tetap dikategorikan sebagai panjang (melepasi kolar baju).

Pengangkutan utama aku untuk ke sekolah adalah dengan menaiki bas. Sewaktu dalam perjalanan aku sering mendengar walkman. Adakalanya aku tidak offkan walkman dan berjalan terus ke pejabat. Rupanya perkara itu menjadi isu dan sering dibangkitkan dalam mesyuarat, kononnya aku membawa pengaruh negatif kepada pelajar. Jadi terpaksalah aku offkan walkman ku setiap kali bas menghampiri bangunan sekolah, takut namaku naik lagi dalam mesyuarat (nasib baik tak pernah nampak aku bermain air guitar sambil headbanging).

Bersambung lagi.......

Tiada ulasan: