Selasa, 2 Jun 2009

Evolusi muzik dalam diri

Sebenarnya aku tidak pasti saat bilakah aku mula meminati muzik. Aku memang meminati muzik, sekarang aku rasa sudah tiada lagi prejudis ataupun diskriminasi mengenai muzik, boleh dikatakan hampir semua jenis muzik aku boleh menerimanya.

Aku dibesarkan pada pertengahan tahun 70'an dan mula bersekolah pada awal 80'an. Pengaruh muzik memang kuat terutamanya daripada pak cik aku yang bongsu yang memiliki koleksi piring hitam artis-artis barat seperti Rod Stewart, Bee Gees, Eagles, Deep Purple dan juga lagu-lagu Melayu seperti Black Dog Bone, Hail Amir & Uji Rashid, Dahlan Zainuddin dan sebagainya. Sementara ayahku pula lebih kepada lagu-lagu The Beatles, Rhoma Irama dan A. Ramlie.

Ketika John Lennon dibunuh oleh peminatnya sendiri, aku baharu sahaja memasuki alam persekolahan. Dan aku pun waktu itu tidak mengenali siapa itu John Lennon. Ketika itu aku lebih berminat dengan muzik-muzik tema siri televisyen seperti siri Combat, Chips, Dallas, Mission: Impossible dan tidak berminat dengan lagu-lagu popular yang disiarkan di radio ketika itu. Ayahku juga sering membawaku menonton wayang (kerana panggung wayang terletak di belakang rumahku) dan aku mula meminati soundtrack filem seperti Jaws, Superman, Star Wars yang digubah oleh John Williams (ketika itu aku haram tak tahu lansung siapa John Williams tu).

Apabila aku sudah mula memahami lirik aku telah terpikat dengan lagu-lagu dendangan kumpulan Alleycats dan Kembara (sewaktu aku di Darjah Empat). Aku mula mengenali M. Nasir dan pada ketika ini (tahun 1984) demam Rock telah melanda negara dengan munculnya siri-siri konsert yang dikenali sebagai Battle of the Bands. Fenomena ini sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada kami yang ketika itu masih kanak-kanak. Aku melihat perubahan ini berlaku kepada rakan-rakanku (yang sebelum ini dilanda demam Breakdance tiba-tiba berubah pula kepada imej rockers) dan mula mengikat bandana (ataupun dipanggil key) di kepala, mengubahsuai seluar seragam sekolah menjadi ketat dan menconteng beg sekolah dengan nama-nama kumpulan rock. Entahlah, ketika itu aku tidak berasa terpengaruh sangat dengan demam rock ini kerana aku mempunyai minatku sendiri iaitu muzik New Wave yang dibawakan oleh kumpulan Duran-Duran, The Police, Ramones.

Bila aku memasuki era sekolah menengah, aku meminjam kaset Iron Maiden daripada rakan sekolahku dan aku dapati muzik ini bukanlah kejutan sangat bagi aku (mungkin kerana aku sudah biasa dengan muzik rock daripada Ramones, The Police, Queen dan Deep Purple) dan aku boleh menerima kumpulan-kumpulan rock lain seperti Scorpions, Van Halen, ZZ Top dan sebagainya. Kemudian baharulah aku beralih kepada muzik-muzik rock tempatan seperti SYJ, Search, Lefthanded, Sweet Charity, Bloodshed dan sebagainya.

Meskipun aku mendengar lagu-lagu berirama rock ini namun aku tidak terpengaruh dengan fesyennya. Aku cuma mendengar sekaligus menghayati senikatanya (banyak lagu-lagu rock ini mempunyai lirik yang bagus dan bertemakan kerohanian, sekarang Nik Aziz pun sudah mengakuinya) tapi aku tidak lansung terpengaruh dengan imej yang dibawa oleh rockers-rockers ini. Ini membuatkan rakan-rakan aku keliru dan seringkali berkata "kau ni Mat Straight, mana boleh dengar lagu-lagu macam ni!"

Dan irama rock ini menjadi semakin ekstrem dan agresif, aku mula mendengar lagu-lagu dari Metallica, Sepultura, Slayer, Dark Angel yang bisa membuatkan otak meletup. Muzik-muzik ini dikategorikan sebagai Thrash Metal oleh rakan-rakanku yang arif tentang muzik (namun kini aku mengetahui bahawa band Metallica berada dalam kategori Heavy Metal kecuali Sepultura, Slayer dan Dark Angel yang memang merupakan kumpulan Thrash). Begitu juga dengan kemunculan beberapa kumpulan Thrash Metal tempatan seperti Cromok, FTG dan Punisher (sekarang Cromok dan FTG juga dikategorikan di bawah Heavy Metal).

Setelah aku meninggalkan alam persekolahan, muzik rock tempatan sudah mula kehilangan arah. Akibat populariti lagu Suci Dalam Debu dendangan kumpulan Iklim, maka banyak kumpulan yang tampil dengan lagu yang dikatakan sebagai 'killer song' (killer song bagi aku adalah satu-satunya lagu yang best dalam satu album sedangkan lagu-lagu lain macam hampeh) dan mulalah era lagu rock balada yang mesti ada pengaruh muzik Jepun (mungkin juga disebabkan oleh populariti lagu Isabella daripada kumpulan Search). Ketika ini aku menjadi peminat fanatik kumpulan Wings.


Bersambung....

1 ulasan:

Dr. Bentara berkata...

best...

sila sambung cepat2...