Selasa, 19 Mei 2009

Berdakwah melalui filem


Berdakwah melalui filem. Adakah sesuatu yang janggal? Adakah filem tidak boleh dijadikan suatu medium untuk menyampaikan kebaikan, kebenaran? Filem seharusnya suatu medium untuk melepaskan tekanan, berhibur, berpoya-poya. Jika itulah anggapan kita, masih lagi sempit pemikiran kita sebenarnya.

Dan bagaimana pula bentuk filem dakwah itu? Sebuah filem di mana para pelakonnya memakai serban, berkopiah, berjubah, kain pelikat, wanita bertudung litup dan hanya nampak mata, mestilah berkisar di surau, masjid, tempat-tempat beribadat. Masih lagi disempitkan pemahaman tentang filem-filem dakwah.

Ya, aku akui, aku sendiri tidak memahami konsep sebenar berdakwah, tetapi yang aku faham, sekiranya kita mengajak berbuat kebaikan dan menjauhi kemungkaran, itulah dakwah. Dan erti berdakwah ini adalah luas, bukan setakat menjemput orang ke surau pada waktu Mahgrib sahaja.

Filem peperangan mempertahankan tanah air pun boleh dikatakan sebagai filem dakwah jika kena pada gayanya. Filem polis menumpaskan penjenayah pun boleh dijadikan filem dakwah, dengan menunjukkan bahawa jenayah adalah suatu perbuatan sia-sia dan berdosa.

Tan Sri P. Ramlee misalnya telah banyak mengarahkan filem yang boleh dikategorikan sebagai filem dakwah secara tidak lansung. Filem Semerah Padi yang mengutarakan isu hudud dan undang-undang Islam, filem Anakku Sazali tentang salah didikan terhadap anak yang boleh merosakkan hidup anak itu sendiri, Madu Tiga, sebuah sindiran bagi mereka yang berpoligami dan banyak lagi filem yang dianggap sebagai hiburan ringan sebaliknya mengandungi isu yang cukup berat.

Aku teringat kata-kata seorang pengarah filem indipendent dalam sebuah rancangan terbitan RTM suatu masa dahulu. Kata pengarah tersebut "kami tidak menyampaikan apa-apa mesej dalam filem kami kerana kami bukanlah guru atau pendidik yang menyampaikan mesej kepada penonton." Begitulah kata-katanya lebih kurang. Aku tak pasti adakah itu pengakuan yang jujur daripada pengarah tersebut ataupun sekadar jawapan untuk melepaskan diri kerana diwawancara oleh pengacara RTM. Bagi aku seorang pengarah filem juga mempunyai tanggungjawab untuk mendidik dan membentuk akhlak masyarakat. Filemlah yang mempunyai pengaruh yang kuat kepada seseorang. Contohnya bagaimana seorang kanak-kanak boleh mati terjatuh dari bangunan gara-gara meniru aksi Spider-Man.

Tugas pengarah filem, penerbit, penulis skrip sebenarnya memang berat. Mereka akan disoal di kemudian hari tentang apa yang telah mereka lakukan. Jadi sekiranya mereka menghasilkan sebuah filem yang tidak bermanfaat, tidak mempunyai makna dan memberikan pengaruh negatif kepada masyarakat, tanggunglah pada kemudian hari. Jangan anggap sebagai anak seni maka tidak perlu mempraktikkan 'amar makruf nahi mungkar' dalam kerja-kerja mereka. Mungkin disebabkan tiada niat sebegini dalam hati produser dan penggiat-penggiat filem, hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata maka mutu filem Malaysia pun jatuh.

Apa kata kita tonton filem Syurga Cinta arahan Ahmad Idham yang bakal ditayangkan di pawagam. Aku menyambut filem ini dengan positif meskipun tema yang cuba disampaikan oleh Ahmad Idham dalam filem ini iaitu mengenai seorang remaja yang hanyut dengan budaya hedonistik dan berpoya-poya sebaliknya terpaut hati pada seorang gadis yang solehah telah banyak kali dipaparkan dalam filem (rujuk Syukur 21 dan Kiamat Sudah Dekat) namun tidak salah untuk Ahmad Idham mencubanya. Memang satu kelainan daripada Ahmad Idham.

Tiada ulasan: