Selasa, 19 Mei 2009

Album pop kedua Yusuf Islam


Yusuf Islam kembali dengan album kedua yang berkonsepkan pop dan folk berjudul Roadsinger (To Warm You Through the Night). Album pop pertama Yusuf Islam atau dahulunya dikenali sebagai Cat Stevens berjudul The Other Cup diterbitkan dan dikeluarkan pada tahun 2006.

Album ini mengandungi 13 buah lagu (termasuk dua buah lagu bonus untuk iTunes). Antara lagu-lagu yang dimuatkan ialah Welcome Home, Thinking 'Bout You, Everytime I Dream, The Rain, World O' Darkness, To Be What You Must, This Glass World, Roadsinger, All Kind of Roses, Dream On (Until...), Shamsia, Boots and Sand dan Peace Train Blues.

Dalam album terbaru ini Yusuf telah mengundang Dolly Parton dan bekas anggota The Beatles, Paul McCartney untuk menyanyi dalam lagu Boots and Sand.

Meskipun lagu-lagu dalam album ini berentak pop dan tiada satu lagu pun yang berentak Nasyid atau Islamik, namun lirik yang ditulis tetap berkisar pada kemanusiaan dan spiritual.

Sebelum ini, pada Januari 2009 Yusuf Islam telah merakamkan semula lagu George Harrison (gitaris The Beatles) berjudul The Day the World Gets Round dan keuntungan daripada penjualan single tersebut didermakan kepada mangsa serangan di Gaza, khususnya kanak-kanak bagaimanapun telah dikritik oleh konsul Israel, David Saranga kerana melupakan kanak-kanak Israel yang turut menjadi mangsa peperangan itu.

Pada 12 Mei yang lalu, Yusuf Islam telah mengadakan konsert solonya yang pertama di New York, Amerika Syarikat. Ini adalah konsert solonya yang pertama di negara itu setelah 33 tahun meninggalkan bidang nyanyian. Konsert itu nyaris-nyaris tidak menjadi kenyataan apabila Yusuf terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan antaranya visa Yusuf untuk memasuki Amerika Syarikat ditahan kerana nama Yusuf termasuk di dalam senarai beberapa orang yang dianggap merbahaya dan terlibat dalam serangan 11 September 2001.

Bagaimanapun, isu itu dapat diselesaikan dan Yusuf Islam mengadakan persembahan di hadapan lebih kurang 400 orang peminat. Yusuf Islam menyampaikan beberapa lagu klasiknya seperti Peace Train, Where Do the Children Play?, Wild World dan beberapa lagu daripada album terbaharunya, Roadsinger.

Yusuf Islam bersama isterinya Fauzia Ali

Tiada ulasan: