Jumaat, 24 April 2009

Rantai

Sekadar memanjangkan wasiat daripada Jhebat.

I’lam diketahui olehmu satu entri terakhir tertulis dengan magisnya di sebuah blog. Sebuah blog yang pada mulanya warna latarnya hitam pekat gelita, tulisannya pula berwarna putih sesuci salju, serta ada juga warna api merah membara. Tapi, lama-kelamaan warna-warna segar lagi cerah itu akhirnya lusuh dan pudar akibat kesan hakisan zaman.

Adapun seorang raja yang zalim berserta jutaan kuncu-kuncunya, cuba menggodam blog itu. Maka muncul seorang anak muda, Jhebat namanya, baik parasnya, tinggi orangnya, putih kulitnya, baik hatinya, pintar akalnya. Satu hari, dijadikan cerita, Jhebat ini telah ke pekan untuk membeli DVD. Akan tetapi, di hadapan Sungai Melaka, bertembunglah Jhebat ini dengan raja bersiong yang maha zalim itu berserta jutaan kuncu-kuncunya.

Disebabkan Jhebat ini bijak orangnya, petah tuturkatanya, maka dikatanya kepada raja bersiong itu bahawa blog itu telah pun digodam oleh kerajaan Siam. Mendengarkan khabar berita ini, maka berangkat pulanglah raja yang zalim itu bersama kuncu-kuncunya tidak jadi menyerang. Maka selamatlah blog tersebut oleh kerana kebijaksanaan Jhebat.

Kebijaksanaan dan ketampanannya telah diketahui ke seluruh pelusuk nusantara. Maka berkenanlah Sultan Melaka ingin mempersuamikan dua orang puterinya sekaligus kepada Jhebat. Tidak mahu menjadi hamba kepada sistem feudal dan percaya kepada konsep kebebasan memilih, Jhebat mengambil keputusan untuk melarikan diri ke Rom.

Dalam perjalanannya ke Rom, di puncak Gunung Ledang, terserempak Jhebat dengan Laksamana Hang Tuah seorang diri termanggu.

“Mana kuncu-kuncumu?” soal Jhebat.

“Tun Mamat dan yang lain-lain ada di bawah,” balas Tuah.

“Apa yang sedang kau fikirkan?” tanya Jhebat lagi.

Tuah membalas, “hamba ingin kenakan sultan Melaka yang nakal itu, hamba sedang fikirkan syarat-syarat yang akan dikenakan oleh Puteri Gunung Ledang.”

“Jadi di mana Puteri Gunung Ledang ini?” tanya Jhebat.

Sambil menyalakan rokok daun, Tuah menjawab, “Di depan mata tuan hamba ini, hambalah Puteri Gunung Ledang.”

Jhebat tersenyum.

“Setakat ini, hamba baru terfikirkan ‘satu mangkuk darah sultan Ahmad’. Kalau boleh, hamba mahu enam lagi syarat-syarat yang lebih mengarut,” tambahnya lagi.

“Baiklah, disebabkan kau sudi berkongsi rahsia denganku, akan aku tolongmu Tuah dengan imaginasi liarku.” kata Jhebat.

***

Jhebat: Pertama, jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang. Kedua, jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.

Tuah: Sedang mendengar.

Jhebat: Ketiga, tujuh dulang hati nyamuk. Keempat, tujuh dulang hati kuman.

Tuah: Sedang mendengar.

Jhebat: Kelima, tujuh tempayan air mata anak dara. Keenam dan terakhir, tujuh tempayan air pinang muda.

Tuah: Agak luar biasa sekali pemikiran tuan hamba ini. Akan tetapi tidak mengapa sajalah, terima kasih atas bantuan tuan hamba, hamba rasa lebih molek jika hamba fikirkan syarat-syarat yang lebih relevan.

Jhebat: Baiklah jika itu kehendak engkau. Aku gerak dahulu ke Rom.

Tuah: Selamat.

Selepas perjumpaan itu, kisah pengembaraan Jhebat ini terpecah kepada dua mazhab. Yang berhaluan kiri mengatakan bahawa Jhebat telah selamat tiba di Rom dan bermastatutin di sana. Yang berhaluan kanan pula mengatakan bahawa Jhebat telah insaf lalu patah balik ke Melaka dan dihukum bunuh. Ketika di penjara sebelum dijatuhi hukuman bunuh, Jhebat telah meninggalkan surat wasiat yang berbunyi begini:


Salam sejahtera.

Pada suatu malam ketika hamba sedang menginsafi perbuatan hamba di dalam penjara, lalu hamba tertidur, dalam tidur hamba bermimpi didatangi Megat Sri Rama yang dicahayai iman, lalu berkata kepada hamba, dalam enam juta orang Melayu yang meninggal dunia di zaman ini tiada seorang pun matinya dalam keadaan Melayu:

a) Orang Melayu malu berbahasa Melayu
b) Orang Melayu kaya tidak bertimbang rasa kepada orang miskin
c) Orang Melayu tidak lagi bergotong-royong/tolong-menolong.

Oleh itu wahai Jhebat hendaklah kamu menyebarkan kepada orang Melayu yakni supaya membuat kebajikan, kerana hari penghabisan (Qiamat) akan tiba di masa bintang terbit dari langit. Sesudah itu pintu matahari akan turun di atas kepala.

Pesan hamba ini:
a) Berbahasalah dalam BAHASA MELAYU baik dari segi percakapan mahupun penulisan.
b) Golongan MELAYU KAYA haruslah membantu mereka yang miskin tanpa mengira warna kulit.
c) Rapatkan jurang INTEGRASI SESAMA MELAYU dengan kaum lain baik dari segi batin mahupun fizikal.

***

UNTUK MAKLUMAT
1) Seorang penulis dari Rembau telah membaca entri ini dan beliau telah mencetak sebanyak 20 salinan dan mengirimkan kepada orang lain. Dia kemudiannya dihujani ilham-ilham genius oleh Allah dalam penulisannya. Seorang Melayu telah menerima surat ini tetapi tidak mengindahkannya dan menganggap wasiat ini palsu. Maka selang beberapa hari kemudian kekasihnya meninggal dunia.

2) Datuk Azhan Syamsul secara tidak langsung telah patah tiang layarnya kerana apabila menerima emel wasiat ini beliau terlupa foward sebanyak 20 salinan untuk disebarkan kepada orang lain tetapi beliau menyedari kesilapannya lalu beliau foward semula wasiat ini dan terus mengirimkannya kepada orang lain dan selang beberapa hari kemudian beliau telah berjaya menjadi pelayar solo mengelilingi dunia.

3. Pada tahun 2007 Dr. Sheikh Muzzafar Shukri menerima surat ini kemudian mengarahkan pembantunya mencetak sebanyak 20 salinan dan menghantar kepada orang lain maka selang beberapa hari kemudian beliau telah menjadi angkasawan terbilang.

4. Seorang bekas banduan/pengedar dadah telah menerima wasiat ini dan tidak percaya akan kebenarannya dan menganggap palsu lalu dibuangkan ke dalam tong sampah. Seminggu kemudian dia telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

5. Di Kuala Lumpur, seorang penulis blog telah menerima wasiat ini dari pengirim yang tidak dikenali yang datangnya dari Johor. Lalu beliau membuat cetakan sebanyak 20 salinan seperti yang dituntut. Alhamdulillah dia dianugerahkan oleh Allah seorang gadis Melayu yang berakhlak mulia sepertimana yang dituntut oleh Islam. Baginya anugerah Allah ini paling agung dan tidak ada bandingnya.

6. Di Petaling Jaya, seorang Melayu telah menerima wasiat ini dari orang yang tidak dikenali lalu beliau tidak mengindahkannya. Beliau mengatakan yang ianya bohong belaka dan sengaja diada-adakan untuk menakut-nakutkan orang yang membacanya. Beberapa hari kemudian dia telah mendapat penyakit yang ganjil dan penderitaannya amat menyedihkan. Setelah 3 minggu mendapat rawatan rapi di hospital, penyakitnya masih disimpannya lalu menyuruh sepupunya mencetak 20 salinan dan diedarkan kepada orang lain. Seminggu kemudian barulah beliau sembuh sehingga sekarang.

Banyak lagi contoh-contoh orang Melayu menerima wasiat ini dan tidak mempercayainya dan tidak mengedarkannya atau menyampaikannya kepada orang lain di mana mereka mendapat malapetaka. Setelah kejadian yang menggembirakan dan menakutkan ini, anda jangan lupa mencetak 20 salinan wasiat ini dan disebarkan kepada orang lain dalam masa 1 jam dari masa anda membaca wasiat ini, semoga anda akan diberkati sebagai seorang MELAYU SEJATI.

Tiada ulasan: