Isnin, 27 April 2009

Cinta yang terhalang

King Kong, arahan Peter Jackson, keluaran tahun 2005 merupakan contoh filem remake yang terbaik. Ia merupakan remake kedua untuk filem asal King Kong tahun 1933 (remake pertama pada tahun 1976, juga merupakan box-office) dan berjaya mengekalkan keaslian filem tersebut di samping membuat beberapa pembaharuan, misalnya King Kong di dalam filem ini digambarkan sebagai gorilla yang asli, ketinggian 45 kaki dan bukannya beruk umpama manusia (berjalan dengan dua kaki) seperti dua filem King Kong sebelumnya. Juga Jackson menyertakan adegan di dalam lubang serangga yang dibuang adegan tersebut dalam filem asal kerana dikatakan terlalu menakutkan.

Bagi aku, filem King Kong adalah sebuah filem cinta. Ya, sebuah filem cinta yang lebih mengesankan daripada filem Titanic. Itulah sebenarnya perbezaan antara filem King Kong dengan filem-filem monster yang lain. Jika kita lihat filem-filem seperti Godzilla, Cloverfield, Jurassic Park ataupun Jaws, ia akan menjadikan sesuatu rasaksa itu hodoh, ganas dan kita benci melihatnya. Dalam hati kita mahukan ia segera dibunuh, dan lebih seronok menyaksikan aksi rasaksa itu dibom atau dihancurkan dengan kereta kebal, dengan nuklear. Sedkit pun kita tidak bersimpati dengan rasaksa itu, tetapi di dalam filem ini, sewaktu adegan di atas Empire State Building, sebelum King Kong jatuh setelah ditembak oleh kapal terbang tentera, adegan itu begitu mengesankan dan sedikit sebanyak menaikkan rasa simpati padanya.

King Kong tidak sama dengan Beauty and the Beast di mana akhirnya Beast akan bertukar menjadi putera raja yang kacak setelah sumpahannya dihapuskan. Kong adalah binatang buas tetapi berjaya dijinakkan oleh pelakon wanita bernama Ann Darrow yang pada mulanya adalah makanan Kong. Tidak pasti adakah kerana kejelitaan Darrow ataupun tingkah laku Darrow yang telah berjaya menundukkan kebuasan Kong, Kong kelihatan begitu 'gembira' bila Darrow di sisi.

Manakala bagi Darrow pula yang pada mulanya begitu menggeruni Kong, tiba-tiba hatinya 'terpaut' pada Kong setelah Kong bermati-matian menyelamatkan Darrow dari serangan tiga ekor T-Rex yang mahu menjadikan Darrow sebagai habuan. Lumrah wanita apabila seseorang begitu menyayangi dan mengambil berat akan dirinya, sehingga sanggup menggadai nyawa, sudah pasti akan terpaut padanya, cuma dalam kes ini Kong bukan manusia.

Kemesraan antara Kong dan Darrow dapat disaksikan apabila Kong berjaya ditangkap dan dibawa pulang ke New York untuk dijadikan bahan pameran. Disebabkan rasa rindu kepada Darrow, maka Kong berjaya melepaskan dirinya daripada ikatan rantai besi krom. Dan apabila Kong bertemu Darrow di tengah kota New York, itulah antara adegan percintaan terbaik pernah aku saksikan.

Jack Driscoll boleh dikatakan sebagai pihak ketiga dalam hubungan Kong dan Darrow, meskipun Darrow pernah menaruh hati kepadanya. Mungkin disebabkan oleh tindakan Driscoll yang membenarkan Carl Denham (orang yang bertanggungjawab membawa Driscoll dan Darrow ke Skull Island, juga seorang produser yang ingin mengaut keuntungan atas penangkapan Kong) menangkap Kong dan membawanya ke New York membuatkan hati Darrow agak 'tawar' kepadanya. Ini disedari oleh Driscoll sewaktu menonton teater yang dipersembahkan berdasarkan skrip yang ditulisnya sendiri, dan mendengar dialog yang dituturkan oleh seorang pelakon wanita, tiba-tiba membuatkan dirinya mencari Darrow untuk menjelaskan segalanya.

Itulah garapan yang telah dihasilkan oleh Peter Jackson tanpa membuang ungkapan asal filem ini yang menjadi trademark filem King Kong, dan ungkapan itu dilafazkan oleh Carl Denham sewaktu Kong jatuh dari bangunan Empire State dan menemui ajalnya. "Bukan kapalterbang yang membunuhnya, sebaliknya kecantikan yang membunuh binatang buas ini".

Tiada ulasan: