Jumaat, 17 April 2009

Monyet hijau

Saimin atau judul Inggerisnya Hypnosis atau The Hypnotist merupakan sebuah filem seram Jepun yang diterbitkan pada tahun 1999. Filem ini agak kurang diperkatakan berbanding filem seram lain yang seangkatan dengannya seperti Ringu (The Ring) ataupun Uzumaki (The Spiral).

Walaupun bergenre seram, filem Saimin lebih kepada sebuah filem berkonsepkan misteri dan penyiasatan. Tiada unsur-unsur supernatural ataupun hantu rambut panjang (sinonim bagi filem-filem seram Jepun) dalam filem ini melainkan beberapa adegan yang agak pelik dan mengejutkan, juga imej mayat dalam keadaan ngeri yang menaikkan kesan seram untuk filem ini.

Ia dimulai dengan tiga kes kematian yang pelik. Pertama, seorang lelaki yang menjerut dirinya sendiri dengan tali leher sewaktu majlis perkahwinannya. Kedua, seorang atlet wanita yang mati setelah berlari tanpa henti dan ketiga seorang lelaki tua yang terjun daripada tingkap rumahnya. Ketiga-tiga kejadian ini berlaku serentak.

Seorang detektif veteran bernama Sakurai ditugaskan menyiasat kes bunuh diri seorang pengantin lelaki. Dia dibantu oleh seorang polis wanita yang lemah semangat. Sewaktu di makmal autopsi, dia mendapat tahu bahawa ketiga-tiga kes ini berkaitan antara satu sama lain. Mengikut laporan polis, ketiga-tiga mangsa pernah menyebut 'monyet hijau' sebelum melakukan perbuatan yang aneh itu.

Sementara itu, sebuah rancangan hipnosis berjudul Contact mendapat sambutan hangat di Tokyo. Rancangan itu dihoskan oleh seorang pakar hipnosis bernama Jissoji. Jissoji sebenarnya adalah seorang penjahat di mana dia akan memukau peserta wanita yang disukainya dalam rancangan itu, mengarahkan mereka ke apartmentnya selepas persembahan tamat dan merogol mereka dalam keadaan khayal.

Jissoji kemudian telah bertemu seorang gadis misteri bernama Yuka yang meminta bantuannya. Yuka memintanya untuk memulihkan dirinya yang sering dihantui oleh imej seekor monyet berwarna hijau. Yuka juga mendakwa bahawa dirinya dikuasai oleh makhluk asing bernama Andria yang berasal dari planet Fatima. Pada mulanya Jissoji tidak mengendahkan Yuka tetapi kemudian merancang sesuatu untuk dirinya.


Yuka telah dijadikan bintang untuk rancangan TV nya. Dan sewaktu dalam keadaan bersawai Yuka telah menyebut 'monyet hijau' sewaktu beraksi di kaca televisyen. Rancangan itu turut disaksikan oleh Detektif Sakurai dan seorang pakar psikiatri bernama Saga. Mereka pergi ke studio televisyen untuk menyoalsiasat Yuka bagaimanapun tidak disenangi oleh Jissoji. Jissoji merancang untuk memukau kedua-dua mereka bagaimanapun berdasarkan pada pengalaman dan kemahiran Saga, Saga mengesyaki Jissoki bukan sahaja mempunyai kaitan dengan kes bunuh diri yang telah berlaku tetapi juga menjadikan Yuka sebagai tahanannya.

Saga kemudian mengekori Yuka yang sedang berjalan dalam keadaan khayal. memasuki sebuah kelab malam dan menghilangkan diri. Apabila Saga masuk ke dalam kelab tersebut, dia ternampak Yuka dalam karakter yang berbeza. Yuka memakai pakaian berwarna merah, sebelah matanya ditutup dengan plaster dan ketawa menghilai yang mengerikan. Dia juga menamakan dirinya sebagai Rieko. Saga mendapati bahawa Yuka mengalami sindrom kepelbagaian personaliti dan menyiasat latarbelakangnya di sebuah hospital psikiatri. Yuka memang mempunyai rekod masalah mental.

Namun benarkah sangkaan Saga dan Sakurai bahawa Jissoji adalah dalang di sebalik kejadian bunuh diri yang berlaku? Apakah motif Jissoji untuk membunuh? Apakah yang dimaksudkan dengan monyet hijau? Apa kaitan Yuka pula dengan semua kejadian ini? Untuk mengetahui jawapannya kenalah saksikan sendiri filem ini.

Antara adegan-adegan menarik yang dapat anda saksikan dalam filem ini adalah sewaktu seorang atlet wanita berlari sehingga ototnya menjadi kejang dan tulang kakinya menembusi kulit kakinya juga beberapa adegan lain yang membuatkan anda akan menyaksikannya melalui celah-celah jari (kepada yang tak tahan). Antara filem seram Jepun yang terbaik.

Tiada ulasan: