Rabu, 8 April 2009

Aku nampak kau

Sebenarnya dah lama aku ingin menonton filem ini, malangnya pasaran untuk filem ini agak terhad. Aku pernah beberapa kali terjumpa DVD filem ini di kedai-kedai video, tapi mungkin bukan jodoh aku dengannya, selalu ada halangan.

Apabila mendapat tahu filem ini ditayangkan di TV3, aku tidak melepaskan peluang menontonnya, walaupun ia disiarkan pukul 1 pagi. Bukan senang nak menonton sebuah filem seram psikologikal lakonan aktor kegeraman aku, eh silap, kegemaran aku, Sylvester Stallone. Setahu aku Sylvester Stallone belum pernah membintangi filem seram.

Filem berjudul D-Tox ataupun judul lain untuk filem ini ialah I See You merupakan sebuah filem yang under rated, tidak pernah digembar-gemburkan walaupun dilakonkan oleh pelakon hebat seperti Sylvester Stallone. Filem ini diarahkan oleh Jim Gillespie dan difahamkan filem ini tidak ditayangkan di pawagam sebaliknya terus diedarkan dalam format DVD.

Ia mengisahkan seorang ejen FBI bernama Frank Malloy (Sylvester Stallone) menyiasat suatu kes pembunuhan bersiri di mana mangsa pembunuhan adalah anggota polis. Malloy yang juga merupakan bekas anggota polis menghadapi kebuntuan mencari siapakah pembunuh tersebut. Malloy semakin patah semangat apabila teman wanitanya menjadi mangsa pembunuhan seterusnya menyebabkan penyiasatannya terhenti dan dia dilanda kemurungan.

Atas nasihat kawannya, Detektif Hendricks, Malloy bersetuju untuk mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan jiwa bagi anggota polis yang terletak di daerah Wyoming. Berlaku ribut salji di daerah itu menyebabkan semua pesakit dan kakitangan pusat tersebut terperangkap. Keadaan menjadi kalut apabila beberapa orang pesakit ditemui mati membunuh diri. Apabila doktor yang mengendalikan rawatan di pusat tersebut mati dibunuh, Malloy mengesyaki bahawa pembunuh tersebut berada di pusat itu, tetapi Malloy tidak mengetahui siapa dan menjalankan penyiasatan sendiri.


Filem ini diadaptasi daripada novel karya Howard Swindle. Turut membintangi ialah Tom Berenger, Charles Dutton, Sean Patrick Flanery, Dina Meyer, Robert Patrick, Polly Walker dan Kris Kristofferson. Dari segi lakonan, Stallone cuba untuk membawa kelainan sebagai seorang anggota FBI yang bermasalah, kaki botol dan emosi. Bagaimanapun tetap ada beberapa influence daripada Rambo antaranya ialah apabila watak Malloy mengalungkan dirinya dengan cincin perkahwinan yang ingin diberikan pada teman wanitanya.

4 ulasan:

cerpelai berkata...

Gua ada ternampak dalam iklan TV3 hari tu.. Bila siarannya bro?..
Kalau bro kata cerita ni bagus, gua ingat nak cari kat Speedy..

zulazahari berkata...

Filem ini dah disiarkan di TV3 pada hari Sabtu lepas, 4 Mac, filem ini agak rare, mungkin susah sikit nak jumpa, bagi peminat filem Stallone yg dah biasa dgn filemnya yg action packed, filem ini mungkin sikit boring kerana ia lebih berunsurkan misteri dan thriller, boleh dikatakan filem ini umpama gabungan Rambo dan I Know What You Did Last Summer.

cerpelai berkata...

Hahahahaa..
Masalahnya gua ni penggemar tema thriller, perang dan lain-lain asalkan bukan tema chentan syaitan.. (emosi laa pulak..)

Bukan kerana kagum dengan keluaran asing tapi kecewa dengan keluaran kita.. Cuma sedikit yang keluar dari kotak tapi ada jugak yang terlebih keluar dari kotak macam Tale n Time oleh Yasmin Ahmad tu.. Babak dua pasangan remaja tidur bersebelahan dianggap 'sweet' oleh ibubapa perempuan tu sendiri.. Racun tu bagi minda si kecil..!!

Boleh keluar tapi jangan terkeluar..

P/S: Gua pulak yang terkeluar tajuk.. Kehkehkeh.. Sori bro..!!

zulazahari berkata...

Talentime...aku memang nak tulis tentang tu tapi confirm blog aku akan diserang habis-habisan lepas tu, so aku biarkan orang lain yang lebih berani mati untuk mengulasnya, hehe