Isnin, 23 Mac 2009

12 Pusingan

Pada tahun 1989, New Line Cinema bersama World Wrestling Federation (kini dikenali sebagai World Wrestling Entertainment) telah menerbitkan sebuah filem berjudul No Holds Barred. Tujuan Vince McMahon (kini Pengerusi WWE) menerbitkan filem itu adalah untuk memperkenalkan Hulk Hogan kepada dunia perfileman. Sebelum filem ini Hulk Hogan pernah muncul dalam filem Rocky III.

Meskipun filem No Holds Barred dikatakan agak berjaya, namun pulangan untuk filem ini agak mengecewakan dan Vince McMahon telah menanggung kerugian yang banyak. Akibatnya WWF tidak lagi terlibat dalam sebarang penerbitan dan pengeluaran filem meskipun Hulk Hogan kemudian mendapat banyak tawaran berlakon (lazimnya untuk filem aksi low budget seperti Suburban Commando, Mr. Nanny, Santa With Muscles dan 3 Ninja).

WWE kembali terlibat dengan dunia perfileman apabila populariti Dwayne Johnson ataupun The Rock meningkat naik. Stephen Sommers telah mengambil The Rock untuk memegang watak sebagai Mathayus untuk sekuel filem The Mummy iaitu The Mummy Returns. Akibat sambutan yang hangat terhadap filem ini dan juga kepada The Rock, Stephen Sommers telah menerbitkan spin-off untuk filem The Mummy Returns. Filem The Scorpion King merupakan filem pertama The Rock sebagai watak utama iaitu Mathayus. Vince McMahon menjadi penerbit bersama dan filem The Scorpion King merupakan filem terbitan WWE Films dan Universal Pictures.

Selepas kejayaan The Scorpion King, WWE menerbitkan lagi dua buah filem yang dibintangi oleh The Rock iaitu Walking Tall dan The Rundown. Setelah mendapati The Rock memang berbakat dalam bidang lakonan dia telah ditawarkan beberapa kontrak filem daripada beberapa produksi. The Rock kemudian meninggalkan bidang gusti dan mula serius dengan bidang lakonan. Dia juga telah menukar namanya dari The Rock kepada Dwayne Johnson.

WWE kemudiannya mula memperkenalkan lagi beberapa penggusti WWE ke bidang lakonan antaranya ialah Stone Cold Steve Austin untuk filem The Condemned, Kane untuk filem seram See No Evil dan John Cena untuk filem The Marine.

Mr. Kennedy pula akan muncul dalam filem terbaharu WWE Films iaitu Behind Enemy Lines: Colombia. Dalam filem ini, Mr. Kennedy memegang watak sebagai seorang anggota Navy SEALS dalam misi untuk membebaskan rakyat Amerika Syarikat yang ditawan di Colombia.

John Cena juga akan muncul dalam filem terbaharu WWE Films berjudul 12 Rounds. 12 Rounds diarahkan oleh Renny Harlin mengisahkan tentang seorang detektif bernama Danny Fisher telah menerima panggilan daripada seorang pengganas bernama Miles Jackson memberitahu dia telah menculik teman wanita Danny. Sekiranya Danny ingin melihat teman wanitanya selamat, Danny harus memenuhi 12 tuntutan pengganas tersebut.

Selain John Cena filem ini turut dibintangi oleh Ashley Scott, Aidan Gillen, Brian J. White, Taylor Cole dan Steve Harris.

TRAILER 12 ROUNDS

Tiada ulasan: