Selasa, 17 Februari 2009

Sayap


Wings merupakan filem era silent movie pertama yang memengangi anugerah Best Picture dalam Academy Awards. Filem ini diarahkan oleh William A. Wellman, ditulis oleh John Monk Saunders, diterbitkan oleh Lucien Hubbard dan diedarkan oleh Paramount Pictures. Filem ini dikeluarkan pada tahun 1927.

Ia mengisahkan dua orang juruterbang Amerika iaitu Jack Powell dan David Armstrong merupakan sahabat karib. Mereka telah mencintai seorang gadis bernama Sylvia Lewis. Pada masa yang sama, seorang gadis bernama Mary Preston menaruh hati kepada Jack tetapi tidak diendahkan olehnya. Jack dan David telah ditugaskan ke Eropah untuk berperang. Sewaktu hendak berangkat ke Eropah, Sylvia datang untuk memberikan semangat kepada mereka. Jack telah tersalah anggap dan menyangkakan Sylvia hadir kerana mencintainya sedangkan kehadiran Sylvia adalah untuk David.

Mary turut serta dalam misi ke Eropah dengan menjadi pembantu perubatan tentera. Sewaktu di Paris, dia mendapat tahu Jack turut berada di sana. Mary bertemu dengan Jack, malangnya pada waktu itu Jack sedang berada dalam keadaan mabuk. Mary menghantar Jack pulang ke kem. Malangnya dua orang anggota tentera telah terjumpa Mary sedang menyalin baju di dalam bilik tidur Jack. Akibatnya Mary telah disuruh meletak jawatan dan dihantar pulang ke Amerika.

Sewaktu pertempuran di St. Mihiel, kapalterbang David telah ditembak jatuh. David bagaimanapun terselamat. David berjaya mencuri kapalterbang milik Jerman dan menuju ke pengkalan tentera Amerika. Kapalterbang tersebut telah dikesan oleh Jack dan menyangka ia kapalterbang musuh, Jack menembak jatuh kapalterbang itu yang dipandu oleh David. Jack kemudian meninjau bangkai kapalterbang yang terhempas itu dan terkejut apabila mendapati David adalah pemandunya. Sewaktu memangku David, David memaafkan tindakan Jack itu dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Setelah perang tamat, Jack kembali ke Amerika dan bertemu dengan ibubapa David. Mereka memaafkan Jack dan menyalahkan peperangan kerana peperanganlah yang telah meragut nyawa anak mereka. Jack kemudian bertemu Mary dan mengucapkan terima kasih atas pertolongannya sewaktu di Paris. Mengetahui bahawa Sylvia hanya mencintai David, Jack telah melamar Mary dan mereka akhirnya berkahwin.

Latar masa filem ini adalah sewaktu Perang Dunia Pertama. Filem ini cuba membawakan mesej anti peperangan. Filem ini juga telah memenangi Academy Award for Engineering Effects. Filem ini juga merupakan filem pertama yang memaparkan adegan bercium dan nudity di mana buah dada Clara Bow (Mary) dapat dilihat sekilas pandang sewaktu adegan di dalam bilik tidur Jack di Paris.

Richard Arlen yang membawakan watak David dan pengarah filem ini William A. Wellman merupakan bekas juruterbang sewaktu Perang Dunia Pertama. Filem terakhir Wellman juga mengenai unit udara Perang Dunia Pertama berjudul LaFayette Escadrille diterbitkan pada tahun 1958. William A. Wellman meninggal dunia pada 9 Disember 1975.

1 ulasan:

Aku berkata...

ches ... aku ingat filem kumpulan Wings kita ... hehehe