Rabu, 18 Februari 2009

Surreal, absurd dan pening kepala di Tokyo

Pertama sekali, ini bukanlah filem seram. Tokyo merupakan antologi tiga buah filem hasil garapan daripada tiga orang pengarah daripada dua buah negara. Mereka ialah pengarah filem daripada Perancis iaitu Michel Gondry dan Leos Carax serta seorang pengarah Korea Selatan, Bong Joon-ho. Peliknya, tiada pula pengarah daripada Jepun turut serta walaupun filem ini berlatarbelakang bandaraya Tokyo. Bagus juga sekiranya Takashi Miike mengarah satu segmen dalam filem ini, memandangkan filem ini sesuai dengan gaya pengarahannya.

Michel Gondry mengarahkan segmen berjudul Interior Design, Leos Carax untuk segmen Merde dan Bong Joon-ho untuk segmen Shaking Tokyo.



Interior Design menceritakan mengenai hubungan pasangan muda Hiroko dan Akira yang baru tiba di bandaraya Tokyo. Di Tokyo mereka terpaksa mengharungi pelbagai cabaran seperti mencari pekerjaan dan tempat tinggal. Akibat kesibukan mencari pendapatan mereka terlupa akan hubungan antara mereka berdua. Michel Gondry dikenali melalui filemnya Eternal Sunshine of the Spotless Mind lakonan Jim Carrey.

Merde pula mengisahkan sejenis makhluk yang mendiami kawasan bawah tanah Tokyo telah menimbulkan suasana panik dan chaos kepada penduduk Tokyo. Makhluk ini akan naik ke atas dan mencuri wang dan rokok daripada mereka yang lalu lalang, menakutkan wanita tua dan menjilat pelajar perempuan. Makhluk ini akhirnya berjaya ditangkap dan akan dibicarakan. Seorang hakim daripada Perancis bernama Maitre Voland tiba di Tokyo dan akan mewakili makhluk tersebut dalam perbicaraan. Dia mendakwa hanya dia sahaja yang faham akan bahasa yang diucapkan oleh makhluk itu. Makhluk yang digelar Merde itu dibicarakan dan dijatuhi hukuman mati. Bagaimanapun sesuatu berlaku sebelum hukuman dapat dilaksanakan. Leos Carax pernah mengarahkan filem Perancis berjudul Les Amants du Pont-Neuf (The Lovers on the Bridge) lakonan Juliette Binoche.

Shaking Tokyo adalah kisah seorang lelaki yang tidak pernah meninggalkan rumahnya selama bertahun-tahun. Beliau hanya berkomunikasi melalui telefon untuk mendapatkan barang keperluan. Suatu hari seorang gadis penghantar pizza datang ke rumahnya membawakan pizza yang dipesan. Tiba-tiba gempa bumi melanda Tokyo, dan gadis penghantar pizza tersebut telah jatuh pengsan di rumah lelaki itu. Lelaki itu pula telah jatuh cinta terhadap gadis penghantar pizza tersebut. Di hari yang lain, lelaki itu menunggu pesanan pizzanya tetapi hampa apabila seorang lelaki yang datang menghantar pesanannya. Menurut lelaki penghantar pizza itu, gadis penghantar pizza sebelum ini telah diserang trauma akibat peristiwa gempa bumi dan enggan keluar dari rumah. Akibat daripada perasaan cinta yang meluap-luap, lelaki tersebut telah melangkah keluar dari rumahnya buat pertama kali sejak sekian lama mencari gadis idaman hati dan menemui rumah gadis tersebut. Sebaik tiba di rumah gadis itu, sesuatu yang tidak diduga berlaku, gempa bumi melanda Tokyo lagi. Bong Joon-ho adalah pengarah filem dari Korea Selatan yang dikenali dengan filem monster The Host.




TRAILER TOKYO

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Memang pelik! Tapi semuanya cambest.