Selasa, 10 Februari 2009

Metallica mengulanginya semula

Kumpulan Metallica mengulangi kejayaan mereka apabila menerima anugerah Best Metal Performance pada Grammy Awards ke-51 yang berlansung pada 8 Februari 2009. Mereka memenangi kategori tersebut dengan lagu My Apocalypse daripada album terbaharu mereka, Death Magnetic. Metallica telah menewaskan empat kumpulan lain yang dicalonkan. Kumpulan-kumpulan lain yang dicalonkan ialah DragonForce, Judas Priest, Ministry dan Slipknot.

Untuk kategori Best Hard Rock Performance ia dimenangi oleh kumpulan rock progresif The Mars Volta. The Mars Volta telah menewaskan empat pencalonan lain iaitu Disturbed, Judas Priest, Motley Crue dan Rob Zombie. Best Solo Rock Performance dimenangi oleh John Mayer untuk lagu Gravity, menewaskan pencalonan daripada Sir Paul McCartney, Bruce Springsteen, Eddie Vedder dan Neil Young. Kings of Leon pula memenangi kategori Best Rock Performance by a Duo or Group with Vocals. Mereka telah menewaskan pencalonan daripada AC/DC, Coldplay, Eagles dan Radiohead.

Kumpulan Zappa Plays Zappa memenangi kategori Best Rock Instrumental Performance menewaskan pencalonan daripada David Gilmour, Metallica, Nine Inch Nails dan Rush. Lagu Girls in Their Summer Clothes persembahan Bruce Springsteen memenangi anugerah Best Rock Song. Album Viva la Vida or Death and All His Friends daripada Coldplay pula menerima anugerah Best Rock Album menewaskan empat pencalonan lain termasuk Death Magnetic daripada Metallica.

Untuk kategori alternative pula, album In Rainbows daripada Radiohead memenangi anugerah Best Alternative Music Album menewaskan album Modern Guilt daripada Beck, Narrow Stairs daripada Death Cab for Cutie, The Odd Couple daripada Gnarls Barkley dan Evil Urges daripada My Morning Jacket.

Rocker veteran, Robert Plant pula memenangi lima anugerah bersama penyanyi bluegrass Alison Krauss. Anugerah-anugerah tersebut ialah Album of the Year untuk album Raising Sand, Record of the Year, Pop Collaboration with Vocals, Country Collaboration with Vocals dan Contemporary Folk/Americana Album.

Grammy Awards ke-51 juga telah diserikan dengan persembahan bekas anggota The Beatles, Sir Paul McCartney diiringi oleh pemain dram Foo Fighters, Dave Grohl dengan lagu I Saw Her Standing There. Grammy Awards ke-51 juga telah menghimpunkan semula kumpulan Punk Rock Blink-182. Tom DeLonge, Mark Hoppus dan Travis Barker, ketiga-tiga anggota kumpulan Blink-182 telah dijemput untuk menyampaikan anugerah. Pada majlis tersebut mereka bertiga mengumumkan bahawa Blink-182 akan bersatu semula.

Produser album Death Magnetic iaitu Rick Rubin telah memenangi anugerah Producer of the Year bagi kategori Non-Classical.

Tiada ulasan: