Rabu, 10 Disember 2008

ANGKASALEPAS DI TAHUN 1999

Tahun 1999 suatu ketika dahulu dianggap sebagai suatu zaman yang futuristik, yang melangkaui minda manusia, penuh dengan teknologi-teknologi moden dan juga diramal akan membuat hubungan dengan entiti dari dunia luar. Kemungkinan kerana tahun 1999 dikatakan sebagai penghujung millenium menyebabkan ia dianggap begitu. Pasti anda masih ingat akan kekalutan ataupun kerisauan tentang Y2K sewaktu hendak menyambut tahun 2000 dahulu?

Sebuah siri televisyen keluaran British pada tahun 1975 pernah menggambarkan suasana pada tahun 1999. Meskipun ia tidak menggambarkan keadaan dunia pada tahun 1999, ia hanya berkisar mengenai penghuni Moonbase Alpha, sebuah pangkalan angkasa yang terletak di Bulan.

Space 1999 adalah sebuah siri televisyen berkonsep sains fiksyen yang popular sekitar 70'an dan 80'an. Ramai yang menyangka siri ini keluaran Amerika Syarikat sebaliknya ia adalah keluaran British yang diterbitkan oleh ITC Entertainment. Ia juga merupakan terbitan terakhir Gerry dan Sylvia Anderson yang popular dengan siri-siri animasi dan sains fiksyen Thunderbirds, Captain Scarlet dan UFO.

Meskipun Space 1999 adalah program tebitan British, ia menampilkan dua orang pelakon popular US iaitu Martin Landau dan Barbara Bain, kedua-duanya merupakan bintang utama siri TV Mission: Impossible. Mungkin ini adalah strategi ITC untuk menambat hati penonton-penonton TV di US. Sebenarnya pemilihan kedua-dua pelakon ini tidak dipersetujui oleh Sylvia Anderson yang mahukan ia dibintangi oleh pelakon-pelakon British. Siri ini juga telah mempopularkan watak Maya, makhluk asing yang boleh mengubah rupa bentuknya menjadi manusia ataupun binatang. Watak ini dipegang oleh Catherine Schell (gambar).

Siri Space 1999 hanya mampu bertahan selama dua musim dan musim ketiga tidak pernah dibikin. Namun kerana permintaan dan kehendak peminat siri ini, maka beberapa spin-off movies telah dibikin seperti Destination: Moonbase Alpha, Alien Attack, Journey Through The Black Sun, Cosmic Princess dan filem terakhir merupakan Message from Moonbase Alpha yang diterbitkan pada tahun 1999.
Message from Moonbase Alpha adalah merupakan sebuah projek yang dibikin oleh peminat-peminat siri Space 1999. Filem pendek ini disiarkan sewaktu konvensyen Breakaway 1999 yang berlansung di Los Angeles pada tahun 1999. Ia mengisahkan tentang watak Sandra Benes (lakonan Zienia Merton) salah seorang krew Moonbase Alpha di Bulan, menghantar mesej terakhir ke Bumi mengatakan keadaan begitu meruncing di Moonbase Alpha dan ramai krew telah meninggalkan Moonbase Alpha ke sebuah planet misteri bernama Terra Alpha. Bulan tempat Moonbase Alpha beroperasi akan mengalami kemusnahan. Sandra juga mengucapkan selamat tinggal kepada penduduk Bumi dan meminta mereka agar tidak melupakan krew-krew Moonbase Alpha. Turut diselitkan beberapa footage daripada siri-siri Space 1999. Kemungkinan Message from Moonbase Alpha merupakan penamat kepada siri Space 1999.
Adegan dari Message from Moonbase Alpha

Kenapa krew-krew Moonbase Alpha tidak kembali ke Bumi? Pada episod pertama Space 1999 ia mengisahkan sebuah reaktor nuklear yang terletak di Bulan telah meletup, menyebabkan Bulan telah terkeluar dari orbit Bumi. Bulan, bersama-sama Moonbase Alpha telah menjadi seperti sebuah kapal angkasa induk, meninggalkan orbit Bumi ke angkasa lepas dan krew-krew Moonbase Alpha yang diketuai oleh Komander John Koenig (Martin Landau) cuba mencari planet baru yang hampir menyamai Bumi bernama Terra Alpha. Konsep pencarian Terra Alpha dalam siri ini hampir menyamai siri Star Trek dan Battlestar Galactica yang juga mencari planet-planet baru di cakerawala.

1 ulasan:

cerpelai berkata...

Jelas yang manusia tidak boleh meramal masa depan..!!
Seperti buku 'Mudaiki' tulisan peramal Jepun yang menggambarkan masa depan.. tiada satupun persamaan yang nyata..!!

Space 1999 masa tu gila top..!!
Sampai semua orang berangan-angan nak naik spaceship buatan sendiri..
Kehkehkeh..

Ini pernah dijelaskan dalam filem 'Back To The Future' lakonan Michael J. Fox dulu.. salah satu babak di mana hero menyebut tentang filem futuristik ni yang menjadi kegilaan peminat..!!

Apa-apapun.. idea mereka memang bagus..!!