Isnin, 3 November 2008

LAGI PERLUMBAAN MAUT


Jika kita pernah ditayangkan dengan babak ganas dalam filem Death Race lakonan Jason Statham baru-baru ini, bersedia untuk sesuatu yang melebihi had filem tersebut.

Death Racers, sebuah filem terbitan The Asylum yang hampir menyamai konsep dan plot filem Death Race dan Death Race 2000 (filem asal Death Race), cuma ia lebih ganas dan lebih mengerikan.

Perang saudara telah meletus di Amerika Syarikat menyebabkan kekacauan dan pertumpahan darah berlaku di mana-mana. Kerajaan telah menangkap penjenayah-penjenayah dan para pengganas dan meletakkan mereka di sebuah daerah dipanggil Red Zone.

Ketua segala penjenayah adalah The Reaper (dilakonkan oleh ahli gusti WWE, Raven). The Reaper telah ditangkap sewaktu hendak meracuni bekalan air ke seluruh negara. Pihak kerajaan telah memperkenalkan sejenis perlumbaan maut untuk menghalang dan menghapuskan The Reaper. Empat kumpulan penjenayah telah dikumpulkan untuk menyertai perlumbaan ini. Mereka adalah kumpulan pemotong kepala SHG (Severed Head Gang), banduan tentera Homeland Security, kumpulan pelacur Vaginamight dan kumpulan rap pembunuh Insane Clown Posse. Mereka bertarung dan mempertaruhkan nyawa mereka demi untuk meraih kebebasan seperti yang telah dijanjikan oleh pihak kerajaan.

Untuk mereka yang rasa kurang puas melihat aksi keganasan dan pembunuhan dalam filem Death Race, dicadangkan untuk menonton filem ini tetapi bagi mereka yang mementingkan mutu lakonan baik lupakan saja filem ini.


*Insane Clown Posse adalah kumpulan rap sebenar dan mereka dianggotai oleh Violent J dan Shaggy 2 Dope. Seperti kumpulan Slipknot mereka sering mengadakan persembahan dengan memakai topeng badut yang menakutkan.

Tiada ulasan: