Jumaat, 31 Oktober 2008

FILEM-FILEM SERAM YANG HILANG (MUNGKIN DILARIKAN JEMBALANG)

Ini adalah judul beberapa buah filem yang dikatakan akan dibuat penggambaran, tetapi kemudian senyap begitu sahaja.

Aliester Arcane

Sebuah filem seram yang diadaptasi daripada komik yang sama karya Steve Niles (30 Days of Night). Aliester Arcane mengisahkan tentang seorang pengacara rancangan seram di TV bernama Aliester Arcane yang terpaksa meletakkan jawatannya atas permintaan ibu bapanya. Sebaik sahaja programnya diberhentikan, kampung halamannya telah diserang oleh kuasa yang tidak diketahui.


Altered States

Remake untuk filem sains fiksyen keluaran tahun 80'an. Mengisahkan seorang saintis yang telah melakukan kesilapan atas dirinya sewaktu menjalankan satu eksperimen, dan mengakibatkan kekacauan ke atas sebuah bandar.


The Bad Seed

Remake untuk filem seram keluaran tahun 1956. Mengisahkan seorang gadis kecil yang comel dan merupakan anak kesayangan keluarga, di sebaliknya mempunyai naluri membunuh yang kejam. Filem ini diberitakan akan diarahkan oleh Eli Roth dan Roth bercadang untuk mencipta ikon filem seram yang baru, iaitu seorang kanak-kanak perempuan. Bagaimanapun setakat ini masih belum ada perkembangan tentang filem ini.


Bag of Bones

Adaptasi daripada novel Bag of Bones karya Stephen King. Kisah ini menarik kerana di samping kisah hantu, penjahat yang sebenarnya adalah seorang jutawan bernama Max Devore yang berkuasa penuh ke atas penduduk di sebuah pekan kecil, dan seorang penulis yang baru kematian isteri menjadi protagonis yang akan menyelamatkan mereka dari cengkaman jutawan tersebut. Pada masa yang sama terdapat beberapa pembunuhan kanak-kanak berlaku di pekan itu. Terdapat khabar angin mengatakan Michael Bay akan mengarahkan filem ini.


Blair Witch 3

Plot filem ini mengisahkan seorang wanita bernama Elizabeth Kedward telah diusir ke dalam hutan kerana dituduh mengamalkan ilmu sihir. Beberapa dekad selepas kematiannya, bandar Blair mengalami beberapa kejadian ganjil dan menakutkan. Merupakan prekuel kepada The Blair Witch Project. Dikatakan filem ini masih dalam perancangan dan belum mati lagi.

Sumber dari UHM, Wikipedia

Tiada ulasan: