Jumaat, 24 Oktober 2008

PENJAHAT-PENJAHAT UTAMA DALAM FILEM BOND

Dr. Julius No - Dr. No.

Dilakonkan oleh Joseph Wiseman. Merupakan seorang saintis yang bijak tetapi kejam. Kacukan Jerman dan Cina, adalah seorang bekas ketua organisasi jenayah China yang dipanggil Tong. Melarikan diri ke Amerika bersama-sama wang sebanyak $10,000,000 milik kumpulan Tong. Kedua-dua tangannya rosak terkena radiasi sewaktu menjalankan eksperimen dan menggantikannya dengan tangan bionik yang mampu menghancurkan batu dan membengkokkan besi. Dr. No. pernah menawarkan diri untuk berkhidmat kepada tentera Amerika dan Soviet tetapi ditolak, akhirnya berkhidmat bersama SPECTRE, sebuah organisasi pengganas. Dia ditempatkan di pulau Crab Key, Jamaica. Mati terjatuh ke dalam reaktor nuklear ciptaannya selepas bergelut dengan James Bond.


Kolonel Rosa Klebb - From Russia With Love

Dilakonkan oleh Lotte Lenya. Merupakan bekas agen SMERSH (agen rahsia Soviet) yang berkhidmat untuk organisasi pengganas SPECTRE. Keistimewaannya Klebb memiliki sepasang kasut yang mempunyai pisau beracun. Rosa Klebb mati ditembak oleh Tatiana Romanova (agen Soviet).


Ernst Stavro Blofeld - From Russia With Love, Thunderball, You Only Live Twice, On Her Majesty's Secret Service, Diamonds Are Forever, For Your Eyes Only, Never Say Never Again.
Watak ini pernah dilakonkan oleh Anthony Dawson, Donald Pleasence, Telly Savalas, Charles Gray, John Holis dan Max von Sydow. Pada mulanya, rupa Blofeld tidak pernah ditunjukkan melainkan hanya tangannya (tangan pelakon Anthony Dawson manakala suara pula ialah suara Eric Pohlman) membelai kucing parsi kesayangannya dan penonton hanya mendengar suaranya. Filem You Only Live Twice adalah filem Bond pertama yang memaparkan rupa sebenar Blofeld, seorang penjahat yang berkepala botak (dilakonkan oleh Donald Pleasence). Telly Savalas pula membawakan watak itu di dalam filem On Her Majesty's Secret Service dan telah membunuh Tracy, isteri James Bond. Di dalam filem Diamonds Are Forever Blofeld telah membina sebuah satelit pemusnah dengan menggunakan berlian. Filem For Your Eyes Only merupakan filem terakhir kemunculan Blofeld apabila dia berjaya dibunuh oleh Bond.


Auric Goldfinger - Goldfinger

Dilakonkan oleh Gert Fröbe, Auric Goldfinger adalah seorang penyeludup emas dan juga seorang pembunuh bersiri. Auric Goldfinger membunuh mangsanya dengan mengecat mangsa dengan emas. Mangsa akan mati apabila kulitnya tidak dapat bernafas (realitinya, tiada bukti saintifik yang menyokong pendapat ini dan ia hanya fiksyen). Goldfinger mati tercampak keluar dari kapalterbang dalam satu pergelutan bersama Bond.


Emilio Largo - Thunderball

Orang kanan Ernst Stavro Blofeld. Dilakonkan oleh Adolfo Celi. Emilio Largo adalah seorang jutawan dan memiliki sebuah kapal layar bernama Disco Volante. Di dalam filem Never Say Never Again namanya telah ditukar kepada Maxmillian Largo. Kenapakah ada perbezaan antara filem Never Say Never Again dengan filem-filem Bond yang lain, aku akan jelaskan dalam entri yang lain. Emilio Largo mati dibunuh oleh wanita simpanannya, Domino apabila mengetahui Largo telah berlaku curang terhadapnya.


Dr. Kananga/Mr. Big - Live and Let Die

Dilakonkan oleh Yaphet Kotto. Mr. Big adalah seorang usahawan yang memiliki restoran Fillet of Soul di New York City dan juga New Orleans. Mr. Big juga merupakan ketua sebuah kumpulan samseng di Harlem. Sementara itu di sebuah pulau di San Monique, Mr. Big dikenali sebagai Dr. Kananga. Di pulau ini, Dr. Kananga menjalankan aktiviti penyeludupan dadah. Dr. Kananga mati terbunuh setelah tertelan sebuah pelet yang boleh mengelembung menyebabkan tubuh Dr. Kananga membesar dan meletup.


Francisco Scaramanga - The Man With The Golden Gun

Dilakonkan oleh Christopher Lee. Seorang pembunuh professional dan memiliki pistol yang diperbuat daripada emas. Bekas agen KGB. Scaramanga juga memiliki sebuah kereta yang boleh bertukar menjadi kapalterbang dan sebuah meriam laser. Scaramanga mati ditembak oleh James Bond dalam satu pertarungan tembak menembak.


Karl Stromberg - The Spy Who Loved Me

Dilakonkan oleh Curd Jürgens. Karl Stromberg adalah pemilik syarikat perkapalan di Sardinia, Itali. Dia juga memiliki sebuah istana yang diberi nama Atlantis. Istana ini mampu tenggelam ke dasar laut yang menyebabkan ia tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa. Walaupun Stromberg memiliki syarikat perkapalan, ia juga merupakan penyamaran untuk kegiatannya yang sebenar iaitu sebuah organisasi pengganas. Stromberg akhirnya mati ditembak oleh Bond dan Stromberg bersama-sama istananya tenggelam ke dasar laut.


Sir Hugo Drax - Moonraker

Dilakonkan oleh Michael Londsdale. Seorang jutawan yang tinggal di California dan memiliki Drax Industries. Bagaimanapun, Drax juga sedang mengusahakan sebuah gas beracun yang diperbuat daripada orkid hitam yang hanya dijumpai di Amerika Selatan. Drax merancang untuk menghapuskan kehidupan manusia di bumi melainkan beberapa kumpulan manusia yang telah dipilihnya. Apabila dia melepaskan gas beracun itu ke orbit, Drax bersama-sama orangnya dan mereka yang telah dipilih akan menetap di sebuah pangkalan angkasa yang telah dibinanya. Apabila kesan gas tersebut telah hilang, Drax bersama orang-orangnya akan kembali ke bumi. Hugo Drax mati apabila ditembak oleh Bond menggunakan damak beracun dan disedut keluar daripada pangkalan angkasanya ke angkasa lepas.


Aris Kristatos - For Your Eyes Only

Dilakonkan oleh Julian Glover. Agen KGB dan juga penyeludup dadah. Mati dibunuh oleh Columbo, ketua sebuah organisasi dadah yang menjadi saingannya.


Kamal Khan - Octopussy

Dilakonkan oleh Louis Jordan. Sorang putera raja Afghan yang dibuang ke India. Bekerjasama dengan General Orlov untuk mencetuskan kekacauan nuklear di Eropah Barat dan merancang pengeboman ke atas pengkalan tentera US di India. Kamal Khan terbunuh apabila pesawat yang dipandunya tidak dapat dinaikkan dan menjunam ke dalam gaung setelah disabotaj oleh Bond.


General Orlov - Octopussy

Dilakonkan oleh Steven Berkoff. Seorang Jeneral yang berkhidmat untuk tentera Soviet ketika era perang dingin. Dibantu oleh putera raja Afghan bernama Kamal Khan untuk meletupkan pengkalan tentera Amerika Syarikat di Jerman Barat. Juga terlibat dalam penyeludupan. General Orlov mendapat perhatian Bond apabila dia telah membunuh seorang agen MI6 yang menyamar di Jerman Barat. General Orlov terbunuh sewaktu hendak melarikan diri daripada Jerman Barat menuju ke Jerman Timur.


Max Zorin - A View to a Kill

Dilakonkan oleh Christopher Walken (antara watak penjahat yang aku gemari). Max Zorin adalah manusia hasil daripada eksperimen yang dijalankan oleh pihak Nazi sewaktu perang dunia kedua. Eksperimen tersebut adalah untuk menghasilkan kanak-kanak yang mempunyai kekuatan luarbiasa dipanggil Super Children. Eksperimen itu telah gagal dan ramai bayi yang mati. Bayi yang hidup pula mempunyai daya kepintaran yang luarbiasa tetapi menghadapi masalah psiko. Max Zorin antara bayi yang terselamat dan selepas perang tamat, Zorin telah dibesarkan dan dilatih oleh KGB. Apabila dewasa, Zorin menjadi seorang jutawan dan pengeluar mikrocip yang berjaya. Namun disebabkan oleh masalah psikotik, Zorin juga adalah seorang yang kejam. Dia telah menyebabkan banjir besar berlaku di San Andreas Fault untuk memusnahkan koridor multimedia di Silicon Valley bagaimanapun rancangannya berjaya dihalang oleh Bond. Zorin akhirnya terbunuh apabila terjatuh daripada jambatan Golden Gate. Nama Max Zorin dan Zorin Industries telah menimbulkan kontroversi apabila terdapat sebuah industri mikrocip bernama Zoran Corporation. Zoran Corporation ingin menyaman pihak produksi A View to a Kill kerana menggunakan nama yang hampir dengan nama syarikat pengeluar mikrocip itu, bagaimanapun satu perjanjian telah dibuat dan Zoran Corporation membatalkan hasrat untuk menyaman pihak produksi A View to a Kill.


Brad Whitaker - The Living Daylights

Dilakonkan oleh Joe Don Baker. Seorang pengedar senjata haram dan sukakan peperangan. Dia bercita-cita ingin menubuhkan pasukan askarnya sendiri. Brad Whitaker juga seorang penyeludup dan pengedar dadah. Brad Whitaker terbunuh sewaktu sedang berbalas tembak dengan Bond.


General Georgi Koskov - The Living Daylights
Dilakonkan oleh Jeroen Krabbé. General Koskov adalah seorang Jeneral Soviet yang korup. Dia telah bekerjasama dengan Brad Whitaker menyeludup senjata dan dadah di Afghanistan. General Koskov kemudiannya ditahan oleh General Pushkin, ketua perisik KGB dan tidak diketahui nasibnya selepas itu, kemungkinan besar dia dijatuhkan hukuman mati.




Franz Sanchez - Licence to Kill

Dilakonkan oleh Robert Davi. Berbeza dengan antagonis-antagonis lain dalam filem Bond, Franz Sanchez adalah seorang pengedar dadah dan penjenayah biasa. Dia tidak mempunyai sebarang senjata canggih ataupun gila seperti penjahat-penjahat lazim dalam filem Bond. Franz Sanchez menjadi buruan Bond apabila dia bertanggungjawab mencederakan rakan baik Bond, Felix Leiter, seorang agen DEA. Franz Sanchez mati dibakar oleh Bond.


Alec Trevelyan - GoldenEye

Dilakonkan oleh Sean Bean. Serang agen MI6 yang belot dan pernah cuba membunuh Bond. Alec Trevelyan mati apabila terjatuh daripada menara kawalan selepas berlawan dengan Bond, kemudian tubuhnya ditimpa pula sebatang besi penyokong.





Elliot Carver - Tomorrow Never Dies

Dilakonkan oleh Jonathan Pryce. Seorang jutawan yang berupaya mengawal media dan menggunakan media untuk mencetuskan kekacauan di dunia. Dia merancang untuk memulakan peperangan antara pihak British dengan China dengan tujuan untuk menghapuskan kepimpinan di Beijing supaya dia dapat mengawal negara itu. Eliot Carver mati digerudi oleh sebuah mesin bernama Sea-Vac setelah ditolak oleh Bond.


Elektra King - The World is Not Enough

Dilakonkan oleh Sophie Merceau. Elektra King adalah anak perempuan kepada jutawan minyak, Sir Robert King. Elektra telah diculik oleh pengganas bernama Renard dan menuntut wang tebusan kepada ayahnya. Bagaimanapun, Sir Robert King enggan membayar wang tebusan tersebut. Akibat kecewa dengan sikap ayahnya, Elektra telah bekerjasama dengan Renard dan meletupkan beberapa paip minyak kepunyaan ayahnya. Dia juga merancang untuk membunuh ayahnya. Elektra akhirnya mati ditembak oleh Bond.


Viktor 'Renard' Zokas - The World is Not Enough

Dilakonkan oleh Robert Carlyle. Bekas pembunuh upahan kepada KGB. Akibat ketidakstabilan mental, dia telah dipecat. Selepas tamatnya era Perang Dingin, Renard menjadi pengganas antarabangsa. Agen 009 berjaya menjejaki Renard dan menembaknya di kepala. Renard terselamat dalam kejadian itu, tetapi peluru tembakan agen 009 masih berada di dalam kepalanya. Ini menyebabkan Renard kehilangan deria rasa dan menghidu. Selepas menculik Elektra King, anak kepada jutawan Sir Robert King, Renard telah menjalinkan hubungan dengan Elektra dan mereka berdua berazam untuk memusnahkan empayar Robert King dan membunuhnya. Renard mati tertikam batang plutonium sewaktu berlawan dengan Bond.


Gustav Graves - Die Another Day

Dilakonkan oleh Toby Stephens. Sir Gustav Graves yang sebenarnya adalah Tan-Sun Moon (dilakonkan oleh Will Yun Lee), anak kepada General Moon. Dia merupakan bekas Kolonel untuk Tentera Rakyat Korea Utara. Mendapat pendidikan di Oxford dan Harvard. Dia juga seorang penyeludup berlian daripada Sierra Leone. Dia disangkakan mati apabila hovercraft yang dipandunya jatuh ke dalam gaung (sewaktu kejar mengejar dengan Bond di Korea). Rupanya dia telah menjalani pembedahan plastik dan menukar identitinya menjadi Sir Gustav Graves, seorang jutawan British ala Sir Richard Branson. Graves mati apabila paracut yang dipakainya ditarik masuk ke dalam enjin kapalterbang dan membunuhnya (sewaktu hendak melarikan diri daripada Bond).

Le Chiffre - Casino Royale

Dilakonkan oleh Mads Mikkelsen. Merupakan seorang pengurus kewangan bagi sebuah organisasi pengganas bernama Quantum. Le Chiffre adalah seorang penghidap Haemolacria (penyakit yang mengeluarkan air mata darah). Le Chiffre adalah pakar matematik dan handal bermain catur. Dia juga seorang yang suka berjudi. Le Chiffre mati dibunuh oleh Mr. White.



Mr. White - Casino Royale

Dilakonkan oleh Jesper Christensen. Orang tengah bagi organisasi pengganas bernama Quantum. Dia telah ditembak pada kaki oleh Bond dan ditahan oleh agensi perisikan British, MI6. Mr. White akan muncul semula dalam filem Bond terbaru berjudul Quantum of Solace.






Dominic Greene - Quantum of Solace

Dilakonkan oleh Mathieu AmalricDominic Greene ialah seorang anggota kumpulan rahsia bernama Quantum yang telah memanipulasi bekalan air di Bolivia yang menyebabkan satu rampasan kuasa berlaku.  Dominic Greene kemudian menjual semula bekalan air kepada kerajaan dengan harga yang tinggi melambung.  Dominic Greene akhirnya ditinggalkan oleh James Bond di tengah-tengah gurun pasir Atacama dan tidak lama selepas itu ditemui mati dengan dua kesan tembakan di kepala.







General Medrano - Quantum of Solace

Dilakonkan oleh Joaquin Cosio.  Sebuah organisasi rahsia bernama Quantum telah berjanji untuk melantik General Medrano sebagai Presiden Bolivia dan merancang melakukan rampasan kuasa terhadap kerajaan yang sedia ada.  Bagaimanapun rancangan tersebut digagalkan oleh James Bond dan General Medrano mati ditembak oleh Camille Montes.










Raoul Silva/Tiago Rodriguez

Dilakonkan oleh Javier BardemTiago Rodriguez ialah bekas agen MI6 yang telah ditangkap dan diseksa oleh pihak musuh.  Sewaktu dalam tahanan pihak musuh, Rodriguez telah cuba untuk membunuh dirinya sendiri dengan menelan pil sianida bagaimanapun ajal tidak menjemput dirinya manakala pil sianida yang ditelannya telah menyebabkan kecederaan yang serius untuk bahagian dalaman tubuhnya.  Sianida juga telah menyebabkan hampir keseluruhan giginya hancur.  Setelah berjaya melepaskan diri daripada tahanan musuh, Rodriguez tidak berhasrat untuk kembali berkhidmat kepada MI6 sebaliknya menyimpan dendam terhadap M, pengarah operasi MI6 kerana tidak melancarkan operasi untuk menyelamatkannya daripada tahanan pihak musuh.  Dengan mengubah identiti sebagai Raoul Silva, dia telah mensabotaj operasi MI6 dan mendedahkan identiti perisik MI6 di internet menyebabkan beberapa orang perisik MI6 berjaya ditangkap dan dibunuh.  Silva akhirnya berjaya dibunuh oleh Bond bagaimanapun nyawa M juga tidak dapat diselamatkan. 

1 ulasan:

Aku berkata...

aduh bro, rajin betol lu carik nama mamat2 tu, tq bro ... wa tinggal baca jer ...