Khamis, 30 Oktober 2008

NOSTALGIA TELEVISYEN TAHUN 70'AN



Imej di atas adalah susunan rancangan TV tahun 70'an yang aku petik dari sebuah laman forum. Susunan rancangan tersebut memang mengundang nostalgia kerana aku dilahirkan pada pertengahan 70'an dan dibesarkan pada era 70'an dan 80'an. Antara rancangan TV yang dipaparkan dalam susunan rancangan tersebut dan masih segar di ingatan aku ialah Perils of Penelope Pitstop, The Brady Bunch, Eric Sykes, The Virginian, Skatebirds, Dr. Kildare, The Rookies dan M.A.S.H


Perils of Penelope Pitstop

Sebuah rancangan animasi terbitan Hanna-Barbera. Siri ini mengisahkan seorang pelumba wanita bernama Penelope Pitstop yang sering diancam oleh penjahat seperti The Hooded Claw, Dick Dastardly dan Muttley, tetapi akan diselamatkan oleh sekumpulan lelaki yang dikenali sebagai The Ant Hill Mob.


Eric Sykes

Sebuah sitkom British yang dibintangi oleh pelakon komedi Eric Sykes dan Hattie Jacques. Lazimnya siri komedi British tahun 70'an dan 80'an memang popular di Malaysia, seperti sitkom Mind Your Language, Doctor's Daughter dan The Ropers.


The Brady Bunch

Sebuah sitkom mengenai seorang duda bernama Mike Brady mengahwini seorang janda bernama Carol Martin. Mike mempunyai 3 orang anak lelaki manakala Carol pula mempunyai 3 orang anak perempuan. Keluarga mereka digelar sebagai The Brady Bunch. Sitkom ini sungguh popular sekitar 70'an dan 80'an dan pernah difilemkan pada tahun 1995 dengan menggunakan kasting yang baru.


The Virginian

Sebuah mini siri bergenre Western yang diadaptasi daripada novel The Virginian karya Owen Wister. Ia mengisahkan seorang lelaki yang dikenali sebagai The Virginian mengusahakan sebuah ladang yang dinamakan Shiloh Ranch. Siri ini kemudiannya ditukar judulnya kepada The Men from Shiloh apabila Shiloh Ranch diambil alih oleh Colonel McKenzie.


Skatebirds

Sebuah rancangan kartun sepanjang 60 minit yang dihoskan oleh tiga ekor burung (pelakon memakai kostum) yang bermain kasut roda. Mereka bernama Satchel, Knock-Knock dan Scooter. Di dalam rancangan ini, terdapat empat buah rancangan kartun yang akan disiarkan. Kartun-kartun itu ialah The Robonic Stooges, Wonder Wheels, Woofer & Wimper, Dog Detectives dan Mystery Island. Siri Mystery Island bukanlah animasi sebaliknya dilakonkan oleh pelakon sebenar mengisahkan tiga orang remaja bernama Chuck, Sue dan Sandy bersama robot mereka bernama P.O.P.S terkandas di sebuah pulau misteri. Seorang penjahat bernama Dr. Strange pula menjejaki mereka kerana ingin merampas P.O.P.S untuk tujuan jahatnya.


Dr. Kildare

Sebuah drama berbentuk perubatan yang dibintangi oleh Richard Chamberlain sebagai Dr. Kildare.


The Rookies

Siri penyiasatan ini mengisahkan lima orang pelatih yang akan menjalani latihan di akademi polis dan kelima-lima pelatih ini berasal dari latarbelakang yang berbeza. Ada yang pernah berkhidmat dalam bidang ketenteraan, lulusan kolej dan bidang jururawat.


M.A.S.H

Sitkom mengenai pasukan tentera Amerika yang dihantar ke Korea sewaktu Perang Korea.

1 ulasan:

mahhass berkata...

70an, aku belum kenal huruf lagi. Kecuali MASH, lain2 aku tak pernah tgk. Itupun sebab rancangan tu ada kat tv Perth sini.