Jumaat, 10 Oktober 2008

BEBERAPA PROGRAM YANG AKU TONTON SEPANJANG MINGGU RAYA LEPAS

Sungguhpun sibuk pada minggu raya yang lepas aku berkesempatan juga untuk menonton beberapa rancangan yang disiarkan di TV. Di sini aku ingin mengulas beberapa filem dan program TV yang telah aku tonton (bukan ulasan profesional tetapi sekadar pandangan daripada seorang penonton biasa dan bukan bertujuan untuk menjatuhkan tetapi untuk membina).

Dua buah drama TV yang menarik telah aku tonton, pertama pada malam raya (aku tak ingat tajuknya) sebuah drama yang ditayangkan di TV3, lakonan Rosyam Nor, Fauziah Nawi dan Aziz M. Osman. Aku suka bila Rosyam Nor melakonkan watak seorang lelaki yang tidak macho tetapi tetap berjuang untuk hidup demi kebajikan anaknya dan menuntut kembali haknya yang telah dirampas oleh keluarga mentuanya setelah kematian isterinya. Juga kepada Fauziah Nawi yang melakonkan watak seorang wanita yang melarat dan juga Aziz M. Osman yang telah membuktikan bahawa beliau juga seorang pelakon yang baik, bukan setakat mengarah filem sahaja. Drama kedua ialah Pelita Buluh, juga sebuah drama yang menyayat hati arahan Rashid Sibir yang sinonim dengan drama dan filem sebegitu. Nasir Bilal Khan yang membawakan watak berbeza daripada lakonannya sebelum ini, Fauziah Ahmad Daud yang tidak perlu dipertikaikan lagi mutu lakonannya, Azean Irdawaty yang membuktikan masih boleh berlakon dengan baik, Azizah Mahzan dengan watak yang menjengkelkan dan Elly Mazlein.....hmmm.....dia memang boleh berlakon lah. Best!

Remp-It vs Impak Maksima. Mulanya aku menyangka ia merupakan crossover untuk kedua buah filem berkenaan, ternyata aku silap. Ia tiada kena mengena lansung dengan filem-filem itu melainkan kastingnya yang pernah berlakon dalam kedua-dua buah filem tersebut dan menyentuh tentang kegiatan lumba haram dan drift kereta. Bukan yang terbaik kerana mungkin lack of ideas tetapi masih boleh ditonton.

Dunia Baru The Movie. Siri dramanya lebih menarik daripada filemnya. Ada pengaruh Mamat Khalid juga dalam filem ini. Bab lagu Nasyid Punk Rock tu memang aku tak boleh nak kata apa, tak sepatutnya dibuat pun, banyak lagi lagu lain yang boleh dinyanyikan. Apa salahnya nyanyikan lagu Selamat Pengantin Baru dalam versi Punk Rock, aku rasa lebih selamat dan kurang mengundang sensitiviti.

Chermin. Ditayangkan di Astro. Filem ini memang atmosferanya menyeramkan. Mungkin agak kurang gore tetapi tetap meremangkan bulu roma. Salah satu filem seram yang baik di Malaysia.

Waris Jari Hantu. Aku tak pasti filem ini filem apa. Adakah ia filem seram ataupun drama mengenai seorang lelaki yang mempunyai perwatakan lembut. Kesimpulan aku ia adalah sebuah drama mengenai konflik seorang lelaki yang lembut dan disulami dengan elemen seram mengenai saka harimau. Maksudnya drama dulu seram kemudian. Tidak sebaik dan seseram Pontianak Harum Sundal Malam.

Qabil Kushri Qabil Igam. Kerana ingin mengikuti rentak dan mood filem Bollywood, maka filem ini turut meniru 'perangai' filem Hindustan. Banyak sangat perkara bodoh yang diketengahkan dalam filem ini, yang paling ketara adalah adegan sewaktu di akhir cerita. Aku akui, filem ini memang mampu membuatkan seseorang itu mengalirkan air mata tetapi ia terlalu melodramatik membuatkan aku meluat pula menontonnya.

Ghazalrock. Sebuah program hiburan yang mempunyai konsep menarik. Menggabungkan irama Rock dengan Ghazal. Sayangnya artis-artis yang membuat persembahan agak terhad. Lebih ramai artis tentu lebih menarik. Persembahan Ella, Faizal Tahir menyampaikan lagu Ghazal memang mempesonakan, begitu juga cubaan Annuar Zain dan Ning Baizura menyampaikan lagu Rock. Semoga TV3 menerbitkan lagi program ini dan kali ini jemput pula band-band Rock dan Metal untuk bergabung dengan kumpulan-kumpulan muzik tradisional.

Aku ulangi, ulasan yang aku tulis ini bukanlah hendak menunjuk pandai tetapi sekadar pandangan peribadi daripada seorang penonton biasa yang ingin kepuasan dan mahu melihat kemajuan filem Malaysia. Tidak terniat untuk menjatuhkan atau memburuk-burukkan mutu filem tanahair.

Tiada ulasan: