
Aku tidak menyalahkan ibu bapaku. Sekurang-kurangnya aku mengenali sebuah filem seram yang bertaraf blockbuster dan juga seorang pengarah terkenal yang mana sekarang baru aku mengetahui dia seorang Yahudi. Aku menonton filem ini semula apabila usia aku sudah sedikit matang (sudah mengenali mana satu fiksyen dan mana satu realiti, namun aku masih fobia kepada laut). Filem ini memang menarik kerana memaparkan antagonisnya adalah haiwan dan protagonisnya adalah manusia (sekurang-kurangnya mengangkat 'imej kemanusiaan' dalam filem ini).
Ya, memang aku cukup benci pada ikan jerung pembunuh dalam filem ini. Di waktu akhir, apabila watak Brody (Roy Scheider) meletupkan jerung tersebut, aku bersorak "mampuslah kau!". Memang aku gembira melihat ia diletupkan (siapa yang tidak) kerana pada aku ia telah membunuh sekian banyak manusia dan perlu dihapuskan sehingga aku mengenali siapa pembunuh sebenarnya. Ah, Spielberg, kau memang bijak, kau berjaya mengangkat kebencian penonton kepada jerung ciptaanmu.
Filem Jaws sebenarnya diadaptasi daripada novel karya Peter Benchley dan juga peristiwa serangan jerung di Pantai Jersey pada tahun 1916. Filem Jaws juga boleh aku katakan sebagai simbolik kepada Amerika (ini adalah pendapatku sendiri) kerana peristiwa dalam filem ini berlaku pada 4 Julai iaitu Hari Kemerdekaan Amerika. Menjadi kelaziman pantai dijadikan tempat untuk meraikan hari kemerdekaan itu dan kehadiran para pengunjung seolah-olah satu ancaman ataupun satu pencerobohan bagi si jerung, dan serangan si jerung adalah sebagai reaksi mempertahankan dirinya dan habitatnya. Di akhir cerita, kemenangan tetap berpihak kepada manusia (atau kepada Amerika, mungkin?)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan