Selasa, 19 Ogos 2008

MERACAU DALAM MENGIGAU


Tahun ini mungkin merupakan tahun penyakit buat aku. Baru saja aku diserang flu, dah kena demam panas pulak. Awal tahun ini hampir dua minggu aku tak bekerja disebabkan oleh 'chickenpox'. Jumlah MC aku pun dah nak ke tahap maksima nampaknya.

Disebabkan sakit jugak mood aku nak menulis dan mengupdate blog jadi hambar. Hanya baca blog orang dan update sikit-sikit. Ajami tanya bila nak review filem Susuk. Alamak, aku tak tengok pun lagi filem tu, macam mana aku nak tulis review. Bukan tak nak tengok, tak sempat tengok. Daripada review-review yang aku baca di akhbar dan di blog, filem ini nampaknya sebuah filem seram yang agak advanced, bukan sekadar filem seram yang memaparkan adegan orang terjerit terlolong tak tentu fasal, bukan juga filem seram yang hanya memaparkan perempuan rambut panjang bermuka pucat ataupun mempunyai siung menyeringai (tapi rasanya ada adegan Ida Nerina bersiung dalam filem ini, memang Ida Nerina pilihan yang tepat sebagai watak hantu, ingat Seekers?). Nak mengulas filem ini pun sesuatu yang menyeramkan juga. Yalah, siapalah aku, kalau-kalau tersalah tulis pulak nanti, lain pulak jadinya.

Yang pastinya aku tidak akan review Susuk dalam masa terdekat ini. Aku terpaksa menunggu bila VCD atau DVD nya terbit nanti, baru aku akan review. Mungkin agak lambat, tetapi filem yang baik itu akan terus diperkatakan walaupun sudah bukan zamannya lagi, bukan? Lihat saja filem-filem P. Ramlee yang masih dibuat kajian dan perbahasan walaupun P. Ramlee sudah tiada lagi di dunia ini. Tidak berapa lama lagi Ramadhan akan tiba dan pada waktu itu aku akan mengurangkan sedikit aktiviti-aktiviti menonton filem dan TV dan cuba untuk menumpukan perhatian kepada ibadat. Mungkin ada orang berkata "bulan puasa baru nak beribadat, time-time lain buat maksiat". Bukan begitu sebenarnya, kita sepatutnya mengingati Allah pada setiap masa dan dalam apa juga keadaan, susah dan senang. Tapi biasalah, kita hanya manusia, tidak dapat lari dari kelalaian dan kesilapan, namun itu juga satu ujian dari Yang Maha Kuasa untuk kita sebagai hambanya. Wah! Dah ke mana melalutnya aku ni?

Mungkin ada juga yang mengatakan aku tidak support pada filem-filem Melayu. Tidak juga. Mungkin kurang support, itu lebih tepat. Sebab aku hanya akan menonton filem yang aku hendak tonton, tidak kira filem itu filem bangsa apa. Dan aku pasti Susuk adalah sebuah filem yang baik dan bagus, cuma masanya ditayangkan agak bertentangan dengan masa yang aku ada sekarang (sakit, sibuk dan ekonomi) menyebabkan 'jodoh' antara aku dan Susuk tiada buat masa ini.

p/s - aku pun tak tengok lagi The Dark Knight dan The Mummy 3 sebenarnya. Hehe!!

Tiada ulasan: