Rabu, 30 Julai 2008

PESTA JIWA

Carnival of Souls diarahkan oleh Herk Harvey pada tahun 1962. Filem ini merupakan 'cult classic' dan aku berpeluang menonton filem ini di TV suatu masa dulu. Ia pernah ditayangkan untuk slot tayangan larut malam kalau tak silap aku di RTM.

Dan filem ini telah menjadi kegemaran aku. Aku cuba mencari filem ini di kedai-kedai video tapi setakat ini hampa, kalau ada pun filem Carnival of Souls tahun 1998 yang merupakan remake untuk filem ini, remake hanya pada namanya sahaja, plot ceritanya lari sama sekali.

Filem ini bermula dengan dua orang gadis remaja berlumba kereta dengan sekumpulan lelaki. Malangnya, kereta yang dipandu oleh gadis tersebut telah terbabas dan terjunam jatuh ke dalam sungai. Pemandu kereta tersebut mati manakala penumpangnya terselamat.


Anehnya gadis yang bernama Mary itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan melangkah keluar dari dalam sungai. Kemudian kita dipaparkan pula adegan Mary sedang bermain organ di dalam sebuah mini konsert. Walaupun persembahannya telah memukau penonton, namun Mary berasa seolah-olah ada sesuatu yang meresahkan dirinya, mungkin dia masih teringatkan kejadian kemalangan yang menimpanya.



Mary berhijrah ke tempat lain untuk menjadi pemain organ di sebuah gereja. Sewaktu memandu di waktu malam, dia telah melepasi sebuah 'fun fair' lama yang telah ditinggalkan. Kemudian, sewaktu sedang memandu, kita dapat melihat imej hantu sedang memerhatikan Mary di jendela keretanya, apabila Mary menoleh, imej itu lenyap.

Apabila tiba di sebuah pekan kecil, Mary diterima bermain organ di sebuah gereja. Mary sering ternampak bayangan seorang lelaki (imej hantu yang sama yang memerhatikan Mary di dalam kereta) membuatkan dia berasa ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Lagi perkara aneh tentang dirinya, dia seakan-akan khayal dengan dirinya setiap kali bermain organ. Hinggalah suatu masa dia begitu asyik bermain organ dengan nada yang menyeramkan, menyebabkan dia dipecat oleh pentadbir gereja kerana memainkan nada syaitan.



Dan hantu lelaki itu semakin kerap muncul hingga dia menjadi nyata dan Mary cuba untuk melarikan diri darinya. Mary menaiki bas untuk keluar dari pekan itu tetapi terkejut apabila mendapati semua penumpang bas tersebut adalah hantu. Bas itu membawanya kembali ke 'fun fair' lama yang pernah dilewatinya sewaktu memandu di awal filem. Di dalam 'fun fair' itu hantu lelaki yang sering memerhatikannya menyambut ketibaannya. Dan Mary tiba-tiba terdengar bunyi organ membuatkan dirinya dalam keadaan terpukau. Hantu lelaki itu memegang tangan Mary dan mereka bersama-sama menari mengikut irama organ yang dimainkan.



Di akhir filem ini, sebuah trak penunda menarik keluar sebuah kereta dari dalam sungai. Di dalam kereta tersebut terdapat mayat dua orang gadis, dan salah satu daripadanya adalah mayat Mary.

Kesimpulannya, Mary memang telah mati dalam kemalangan kereta pada awal filem ini. Kisah sebegini sering dipaparkan dalam siri-siri The Twilight Zone dan plot yang sama juga terdapat dalam filem seram Jacob's Ladder dan The Jacket. Filem The Sixth Sense lakonan Bruce Willis dan arahan M. Night Shyamalan boleh juga dikatakan ada similariti dengan filem ini.

Tiada ulasan: