Rabu, 30 Julai 2008

HARIMAU JADIAN DAN PEMBURU

Aku kurang menulis tentang filem Melayu dalam blog ini. Bukanlah bermakna aku tidak meminati filem Melayu, cuma agak kurang filem Melayu yang memberi kesan kepada aku. Tidak juga bermakna filem Melayu tidak bagus, banyak filem Melayu yang bagus-bagus yang telah dihasilkan. Seperti yang telah aku nyatakan filem Melayu yang memberi impak kepada aku agak kurang, iaitu yang membuatkan aku mahu menontonnya berulang-ulang kali.

Filem Tan Sri P. Ramlee memang 'something', aku tak rasa jemu walaupun ditonton berulang-ulang kali. Ada juga filem Tan Sri P. Ramlee yang tak pernah ditayangkan lagi sekarang seperti filem Si Tora Harimau Jadian. Menurut ayahku, filem ini antara filem Tan Sri P. Ramlee yang 'flop', mungkin itu sebabnya ia tidak ditayangkan lagi. Mungkin juga ada isu-isu sensitif yang menyebabkan ia tidak dapat ditayangkan, maklum sajalah, ia sebuah filem bercorak seram, pasti ada yang tidak melepasi tuntutan LPF meskipun ia diarahkan oleh Tan Sri P. Ramlee. Itu hanya andaianku sahaja, mungkin juga filem itu telah rosak menyebabkan ia tidak dapat ditayang sedangkan filem Sumpah Orang Minyak masih ditayangkan walaupun filem itu terdapat unsur-unsur tahyul dan fantasi.

Selain filem-filem Tan Sri P. Ramlee aku juga meminati filem-filem arahan Datuk Rahim Razali. Antara filem-filemnya yang aku minati iaitu filem Abang, Pemburu, Matinya Seorang Patriot, Puteri, Anak Sarawak, Tsu Feh Sofiah dan Rentak Desa. Yang paling aku minati ialah filem Pemburu. Filem ini mempunyai tema yang sama dengan filem Death Wish, Rambo dan Dirty Harry. Bayangkan, sebuah filem Melayu yang mempunyai tema 'personal vendetta' seperti itu, menegakkan keadilan dengan tangan sendiri. Aku lupa di akhir filem ini watak bapa yang dilakonkan oleh Ahmad Yatim ditangkap polis ataupun terlepas, ataupun mati sebab di Malaysia, watak yang hitam seperti ini tidak boleh diakhirkan dengan kemenangan, walaupun menang harus menerima hukuman seperti dalam filem Bintang Malam arahan Adman Salleh, watak Yazid yang dilakonkan oleh Eman Manan pada asalnya digambarkan melarikan diri menaiki kapal, tetapi sebelum 'credit roll' dipaparkan, ada tulisan menyatakan Yazid menyerah diri kepada pihak berkuasa dan dihukum penjara atas kesalahan membunuh (sekadar untuk 'menyedapkan hati' agaknya).

Mengapa agaknya Datuk Rahim Razali tidak mengarah lagi? Mungkinkah merajuk? Baru-baru ini aku menonton lakonannya bersama Eman Manan dalam siri TV Saka, seolah-olah menyaksikan reunion mereka dalam drama itu.

*Gambar diambil dari www.filemkita.com

Tiada ulasan: