Selasa, 10 Jun 2008

REMINGTON STEELE

Remington Steele adalah sebuah siri penyiasatan yang popular di televisyen Malaysia sekitar tahun 80'an. Siri ini juga telah mengangkat nama Pierce Brosnan, malahan dia pernah dikatakan sebagai pengganti Roger Moore untuk watak perisik terkenal, James Bond, bagaimanapun watak itu disandang oleh Timothy Dalton disebabkan usia Brosnan ketika itu masih muda. Brosnan kemudiannya memegang watak Bond selepas dua filem James Bond dilakonkan oleh Timothy Dalton.

Turut berlakon dalam siri ini ialah Stephanie Zimbalist yang memegang watak sebagai penyiasat persendirian Laura Holt. Siri ini kemudiannya terpaksa bersaing dengan sebuah lagi siri penyiasatan iaitu Moonlighting yang dibintangi oleh Bruce Willis dan Cybil Shepherd. Sebenarnya kedua-dua siri ini diilhamkan oleh orang yang sama iaitu Glenn Gordon Caron yang merupakan penerbit untuk kedua-dua siri tersebut. Pierce Brosnan pernah menjadi cameo sebagai Remington Steele dalam sebuah episod dalam siri Moonlighting berjudul The Straight Poop.

Remington Steele mengisahkan tentang seorang penyiasat wanita bernama Laura Holt yang mendapati agak sukar untuk mendapatkan pelanggan kerana masyarakat agak kurang mempercayai kebolehan penyiasat wanita. Laura Holt kemudiannya menukar nama agensi penyiasatannya kepada Agensi Penyiasatan Remington Steele, kononnya ia dikendalikan oleh penyiasat lelaki bernama Remington Steele. Nama Remington Steele diperolehi dengan menggabungkan nama sebuah mesin taip iaitu mesin taip
Remington dan nama Steele daripada pasukan bolasepak Amerika iaitu Pittsburgh Steelers.

Pejabat Laura telah didatangi oleh seorang lelaki yang mendakwa bahawa dirinya adalah Remington Steele. Itulah kemunculan pertama Pierce Brosnan dalam siri ini. Sebenarnya lelaki itu adalah seorang pencuri dan menggunakan identiti Remington Steele untuk melarikan diri daripada sekumpulan 'gangster' yang ingin membunuhnya.

Atas kecekapan Steele menyelesaikan kes jenayah, maka ramai yang mempercayai bahawa Steele adalah penyiasat yang sebenar, termasuk Laura yang pada mulanya agak 'skeptikal'. Identiti sebenar Steele dalam siri ini tidak pernah didedahkan. Steele sendiri tidak mengetahui asal-usulnya sehingga satu episod yang menemukannya dengan ayah kandungnya iaitu Daniel Chalmers. Daniel sering memanggilnya Harry dan berkemungkinan nama sebenar Steele ialah Harry Chalmer. Malangnya Daniel Chalmer juga bukanlah nama sebenar ayahnya memandangkan ayahnya juga seorang penipu dan pencuri. Seperti Steele identiti ayahnya juga tidak diketahui dan dikenali dengan nama Daniel Chalmer sehingga siri ini berakhir.

Yang menarik tentang siri Remington Steele ialah setiap judul untuk setiap episod akan ditambah perkataan Steele antaranya seperti License to Steele (seperti judul filem James Bond 'License to Kill' yang dilakonkan oleh Timothy Dalton), Steele Waters Run Deep, In the Steele of the Night dan sebagainya.

Siri ini pernah ditayangkan di Rangkaian Kedua RTM (sekarang TV2).

Tiada ulasan: