Rabu, 11 Jun 2008

HULK PERKASA


Sempena tayangan filem The Incredible Hulk di pawagam, mari kita imbas kembali siri TV The Incredible Hulk yang pernah disiarkan di Malaysia lewat 80'an dahulu.

Siri The Incredible Hulk dilakonkan oleh Bill Bixby sebagai Dr. David Bruce Banner. Di dalam siri ini Dr. David Banner merupakan seorang ahli fizik yang berada dalam kesedihan setelah isterinya terbunuh dalam satu kemalangan kereta. Dia berasa terkilan kerana gagal menyelamatkan isterinya dan membuat kajian mengenai kekuatan manusia. Dia cuba untuk menghasilkan satu serum yang membolehkan manusia mempunyai kekuatan luarbiasa dan dapat digunakan untuk membantu orang lain.

Dia berjaya menemui sumber kekuatan itu melalui
sinaran gamma dan mendedahkan dirinya kepada sinaran tersebut. Malangnya sinaran yang dipancarkan kepadanya melebihi tahapnya. Dalam perjalanan pulang daripada makmalnya, tayar keretanya telah pancit. Dia terpaksa menukar tayar keretanya dalam keadaan hujan lebat. Sewaktu menukar tayar, tangannya telah tercedera dan secara tidak sengaja menukarkan dirinya menjadi rasaksa hijau yang dikenali dengan nama Hulk. Hulk telah memusnahkan keretanya dan merayau ke dalam belukar berhampiran. Apabila keadaan dirinya menjadi tenang, Hulk bertukar semula ke bentuk asal iaitu menjadi Dr. David Banner semula.

Banner dan rakan sejawatannya Dr. Elaina Marks cuba untuk membetulkan semula kesilapan eksperimen mereka. Seorang wartawan bernama Jack McGee telah datang bertanyakan soalan mengenai Hulk kepada mereka. Kedatangan McGee telah mengganggu eksperimen yang sedang dijalankan menyebabkan Banner bertukar kepada Hulk. Hulk telah memusnahkan peralatan di dalam makmal itu dan menyebabkan kebakaran. Dr. Elaina Marks terbunuh akibat terkena letupan manakala Jack McGee cedera di tangannya. Hulk kemudian mengangkat mayat Dr. Elaina dan membawanya keluar daripada makmal tersebut.

Pihak berkuasa mengandaikan Dr. David Bruce Banner telah terbunuh dalam kebakaran itu manakala Jack McGee ingin mengesan rasaksa berwarna hijau itu untuk memenangi anugerah
Pulitzer. David pula menyedari dirinya kini membahayakan orang lain dan berkelana dari satu tempat ke satu tempat dengan menggunakan nama samaran agar tidak dapat dikesan oleh sesiapa.

Siri televisyen The Incredible Hulk diterbitkan oleh Kenneth Johnson pada tahun 1977 dengan membuat sedikit perbezaan daripada komik The Incredible Hulk yang diterbitkan oleh Marvel Comics. Di dalam siri ini ia lebih menumpukan kepada watak David Banner dan Hulk, mengenepikan watak-watak lain di dalam komik seperti Betty Ross, Rick Jones, General Ross, Doc Samson dan Glenn Talbot. Dia juga menukarkan nama Bruce Banner di dalam komik kepada David Banner dalam siri ini. Perbezaan lain yang terdapat dalam siri ini ialah David Banner tidak membuat penyelidikan untuk tentera sebaliknya di dalam komik penyelidikan sinaran gamma dibiayai oleh pihak tentera. Di dalam komik tiada watak Jack McGee tetapi watak ini direka khusus untuk siri TV. Di dalam siri TV juga tiada watak-watak penjahat luarbiasa.

Siri The Incredible Hulk dihentikan pada penghujung tahun 1981. Enam tahun kemudian pelakon Bill Bixby yang memegang watak Dr. David Banner dan Lou Ferrigno yang memegang watak Hulk menyambung kembali siri ini. Bill Bixby sendiri menjadi penerbit untuk siri ini dan hanya sempat menyiapkan tiga episod sahaja untuk siri baru The Incredible Hulk sebelum dia mati akibat kanser pada November 1993.

Bill Bixby membuat perubahan pada siri baru The Incredible Hulk ini dengan memasukkan watak-watak superhero dan penjahat Marvel yang lain seperti Daredevil, Thor dan Wilson Fisk. Bill Bixby juga bercadang untuk menggabungkan watak-watak dari siri TV The Incredible Hulk dan siri TV Spider Man, namun hajatnya tidak kesampaian.

Filem The Incredible Hulk yang diterbitkan pada tahun 2008 dan diarahkan oleh Louis Letterier akan cuba mengembalikan kenangan pada siri TV The Incredible Hulk ini. Beberapa set dan juga rekabentuk untuk makmal Bruce Banner dalam filem ini dibina hampir sama dengan makmal David Banner. Pertukaran mata Bruce Banner kepada warna hijau juga menyamai pertukaran mata David Banner di dalam siri The Incredible Hulk. Lou Ferrigno yang menjadi Hulk dalam siri TV akan menyumbangkan suaranya sebagai Hulk dalam filem ini.

Untuk mewujudkan konsep
Marvel Universe dalam filem ini, Robert Downey Jr. yang memegang watak sebagai Tony Stark dalam filem Iron Man, juga akan memegang watak yang sama dalam filem ini, tapi cuma Tony Stark, kelibat Iron Man tidak kelihatan. Watak Hulk dan juga Bruce Banner yang dipegang oleh Edward Norton dalam filem ini akan muncul juga dalam sebuah lagi filem adaptasi komik Marvel iaitu The Avengers yang dijangka akan ditayangkan pada bulan Julai 2011.

Tiada ulasan: