Oleh Zainuri Misfar Berita Harian 3 April 2006
Sutradara generasi baru diingatkan jangan abaikan identiti budaya nasional akibat cenderung corak filem Barat.
JANGAN mudah memberi istilah atau gelaran pengarah filem indie kepada mana-mana kumpulan sutradara muka baru kerana ia akan menjadikan orang luar keliru terhadap industri atau aktiviti perfileman tanah air. Perlu ada sebab dan hujah jelas mengapa mereka digelar pengarah indie. Adalah dikhuatiri ialah golongan ini akan menghalalkan budaya yang bertentangan, kerana taksub dengan prinsip kebebasan berkarya seperti diamalkan oleh karyawan seni Barat, termasuk pengarah luar yang berpegang pada gelaran “indie”.
Pensyarah Jurusan Filem Dan Penyiaran dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata tidak ada istilah pengarah indie dalam perfileman tempatan kerana ketiadaan studio penerbitan filem besar seperti yang wujud di Hollywood. Sebaliknya, kegiatan filem di Malaysia sudah wujud secara ‘indie’ sejak era studio Shaw Brothers dan Cathay Keris, dan ia semakin ketara sehingga sekarang apabila kedua-dua studio itu ditutup pada penghujung tahun 60-an.
“Bagi saya pengarah indie adalah pengarah generasi baru. Mereka bukan indie atau pengarah bebas kerana penggiat filem sekarang pun, memang sudah lebih awal bergerak secara indie. Istilah ‘indie’ atau independent yang bermaksud bebas ini, hanya wujud kalau kita ada studio besar, macam di Hollywood atau kalau Shaw Brother dan Cathay Kris masih ada hingga sekarang,” katanya. Dr Abu Hassan berkata demikian dalam Seminar Skrin bertajuk Kemunculan Filem Generasi Indie Dalam Mewarnai Sinema Malaysia anjuran pelajar ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan, Seni Layar dan Penulisan Seni Layar, Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, baru-baru ini. Tambah beliau, kemunculan pengarah bebas sudah ada sejak tahun 60-an lagi apabila Ahmad Mahmud menerbitkan filem Antara Dua Nesan pada tahun 1960, menerusi syarikatnya Ahmad Mahmood Productions.
Jelasnya, filem lakonan Ahmad Mahmood sendiri bersama Saadiah dan Salleh Kamil, adalah contoh jelas adanya pembikin filem Melayu waktu itu untuk keluar dari kompleks besar industri filem yang dikuasai oleh Studio Shaw dan Cathay Kris. “Tindakan menerbitkan filem sendiri, pembiayaan, pengurusan, penerbitan, pengedaran dan pemameran secara sendiri dalam industri filem nasional sudah lama berkembang. Cuma percakapan mengenainya tidak diangkat seperti sekarang,” katanya.
Sementara itu, pengkritik filem, Faisal Tehrani yang turut menjadi panel dalam seminar ini, berpendapat kemunculan pengarah generasi baru ini tidaklah dianggap satu fenomena. “Macam mana dianggap fenomena sebab ramai yang tidak tahu pun bila dan di mana filem mereka ini ditayangkan. Bagi saya bukan fenomena tetapi (mereka) masih terasing. Mereka adalah kelompok yang masih keliru,” katanya.
Bagi pengarah dan pensyarah bebas, Syed Mohamed Hassan Benyahya, pengarah indie ini dilihat lupa identiti budaya mereka kerana terlalu cenderung kepada cara Barat. “Laungan ‘action’ dan ‘cut’ senang diungkap oleh sesiapa sahaja. Tidak hairan kelompok indie muncul dengan mendadak sekali gus mencuri perhatian penonton baru dengan teori dan sajian cerita lebih kepada eksperimen,” katanya. Bagaimanapun, ia bukan bererti pengarah generasi baru dipinggirkan sebaliknya kedua-dua pihak harus saling hormat menghormati apabila berkarya.
Dr Abu Hassan berkata, kemunculan mereka secara positif dianggap memberi sinar baru buat filem Malaysia kerana idea mereka yang keluar dari ciri-ciri pembikinan filem yang selama ini bersifat konservatif dan tradisional. Apa yang penting ialah mereka perlu menghormati atau sensitif dengan nilai dan budaya tempatan. Syed Mohamed Hassan berpendapat pengarah indie yang ‘syok sendiri’, dengan sendirinya terbantut untuk terus berkarya kerana gagal mempengaruhi pemikiran penonton.
“Tidak salah mereka diberi perhatian. Hari ini pun, sudah ada di antara mereka mula mengorak langkah ke aliran arus perdana yang dahulunya dianggap kolot dan ketinggalan. Tapi mereka (pengarah generasi baru) juga mesti sama-sama bertanggungjawab mencari formula mendidik penonton dan bagaimana karya mereka pun mampu menghiburkan penonton. Adakah karya mereka sudah bagus tanpa ditonton kepada umum?” katanya.
Entri ini dipetik daripada laman blog Faisal Tehrani di www.tehranifaisal.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan