Jumaat, 14 Februari 2014

Penjenayah paling kejam, ahli korporat


Minggu ini, umpama melepaskan geram, aku telah menonton dua buah filem berturut-turut (back to back).

Filem pertama merupakan sebuah filem animasi iaitu The Lego Movie.

Bagi mereka yang pernah mengikuti siri video animasi Lego arahan Michael Hickox di YouTube pastinya tidak akan merasa janggal dengan filem ini, cuma agak teruja apabila melihatnya ditayangkan di layar besar.

Apa yang membezakan antara filem The Lego Movie dan video-video animasi Michael Hickox adalah filem The Lego Movie merupakan sebuah filem animasi komputer manakala video-video Michael Hickox dibikin menggunakan teknologi stop-motion.

Aku tidak mahu menceritakan sangat tentang jalan cerita filem ini kerana ia ada persamaan sedikit dengan jalan cerita The Matrix iaitu suatu kuasa baru (new world order) yang bertujuan untuk mengawal dunia melalui media dan rutin harian.

Menariknya, kisah tentang bagaimana pendominasian dunia oleh sektor korporat di dalam The Lego Movie ini seakan-akan ada hubungkaitnya dengan filem kedua yang aku tonton.

The Lego Movie juga seolah-olah cuba memberitahu kita bahawa mainan yang direka itu sememangnya khusus bagi kanak-kanak, untuk membina daya imaginasi mereka dan tidak seharusnya ada 'campur tangan' golongan dewasa melainkan untuk membimbing mereka mengembangkan pemikiran mereka agar tidak terpesong dan terkongkong.

Setelah selesai menonton The Lego Movie aku ke panggung sebelah untuk menonton filem RoboCop. Seperti yang aku nyatakan di atas, seakan-akan ada persamaan pada plot filem The Lego Movie dan RoboCop, iaitu pendominasian dunia melalui sektor korporat.


Tidak dinafikan bahawa sektor korporat pada zaman sekarang memainkan peranan penting dalam urusan pentadbiran negara, bukan lagi ahli politik. Malahan ahli-ahli politik juga kebanyakannya sekarang berasal dari arena perniagaan dan korporat, maka soal-soal pentadbiran negara juga dibuat berdasarkan bagaimana menguruskan sesebuah syarikat korporat.

Tema ini memang telah lama diangkat di dalam filem-filem RoboCop yang terdahulu iaitu RoboCop asal pada tahun 80'an dahulu. Apabila filem RoboCop dibuat pembikinan semula, aku sebenarnya tiada bantahan kerana memang wajar untuk RoboCop dibikin semula, sedangkan filem-filem aksi superhero yang lain juga telah beberapa kali dibikin semula.

Hasilnya, RoboCop yang baharu ini bukan lagi hanya memaparkan aksi-aksi ekstrem dan dunia futuristik Detroit sebaliknya lebih banyak bermain drama dan emosi. Tambahan pula filem RoboCop kali ini dibintangi oleh beberapa pelakon handalan seperti Michael Keaton, Gary Oldman, Jackie Earl Haley dan Samuel L. Jackson.

Boleh dikatakan hasil kerja pengarah daripada Brazil iaitu José Padilha telah berjaya meletakkan RoboCop dalam kategorinya tersendiri. RoboCop yang baharu juga dilihat lebih 'manusia' daripada RoboCop yang dipaparkan dalam filem-filem terdahulu.

Di dalam filem RoboCop versi baharu ini, ia seolah-olah mahu membawa penonton berfikir, siapakah yang lebih kejam sebenarnya, adakah pihak polis yang korup, pihak penjenayah ataupun ahli-ahli korporat yang lebih mementingkan kewangan daripada nilai-nilai kemanusiaan.

RoboCop juga sarat dengan pengaruh filem Batman (mungkin perasaan aku sahaja kerana terdapat dua orang pelakon filem Batman di sini iaitu Michael Keaton yang pernah membawakan watak Batman dan Gary Oldman yang pernah membawa watak James Gordon dalam trilogi The Dark Knight).

Michael Keaton berjaya membawa watak seorang antagonis meskipun pada awalnya tidak menunjukkan sisi negatif dirinya, hanya pada pengakhiran cerita baharulah beliau yang membawakan watak tokoh korporat Raymond Sellars menunjukkan belangnya.

Samuel L. Jackson juga meskipun membawakan watak sebagai seorang pengacara TV bernama Pat Novak namun tetap meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada penonton. Beliau berjaya membuat aku meluat dengan sikapnya sebagai seorang pengacara TV yang bias dengan OCP ataupun Syarikat Omnicorp, kemungkinan syarikat TV ini merupakan anak syarikat OCP.

Akhir sekali, kedua-dua filem ini memang berbaloi untuk ditonton dan merupakan pembukaan yang baik untuk tahun 2014.

Tiada ulasan: