Isnin, 24 Jun 2013

Yang aku suka, tak suka dan merapu tentang Man of Steel


Yang aku suka

Adegan sewaktu di planet Krypton sangat menarik, seolah-olah aku menonton gabungan antara filem Star Wars, Avatar dan John Carter of Mars.

Babak terbang Superman juga agak realistik, terima kasih kepada kecanggihan CGI kini.

Pakaian Superman juga agak menarik dan menepati ciri-ciri abad ke-21, Superman sudah lebih cerdik kerana tidak lagi memakai 'spender' di luar.

Kedua-dua ayah Kal-El/Clark iaitu ayah kandung dan ayah angkat memiliki sifat keperwiraan yang sejati. Kedua-dua mereka sanggup mengorbankan nyawa sendiri demi untuk melindungi orang lain.

Kematian ayah angkat Kal-El/Clark digambarkan begitu tragis sekali sehinggakan aku hampir menitiskan air mata.


Yang aku tak suka

Tiada muzik tema Superman gubahan John Williams berkumandang dalam filem ini yang membuatkan aku tidak bersemangat menontonnya. Muzik tema Superman yang dikenali juga dengan nama Superman's March digubah oleh John Williams bersama London Symphony Orchestra untuk filem Superman the Movie pada tahun 1978 dan muzik tersebut telah menjadi sinonim untuk filem-filem Superman sehingga ia digunakan semula untuk filem Superman Returns yang dibintangi oleh Brandon Routh pada tahun 2006. Aku rasakan muzik tema filem Man of Steel yang digubah oleh Hans Zimmer terlalu lemah untuk filem superhero sekuat Superman. Sepatutnya muzik tema gubahan John Williams dikekalkan sebagai identiti untuk filem Superman seperti mana muzik tema James Bond gubahan Monty Norman yang masih digunakan sejak tahun 1962 hingga kini meskipun watak James Bond telah dilakonkan oleh pelakon yang berbeza.

Tiada langsung pelakon-pelakon daripada filem-filem Superman terdahulu menjadi cameo dalam filem ini. Sekurang-kurangnya jemputlah Terence Stamp yang pernah membawakan watak General Zod dalam filem Superman the Movie dan Superman II, Gene Hackman yang membawakan watak Lex Luthor, Sarah Douglas sebagai URSA dalam filem Superman the Movie dan Superman II ataupun Margot Kidder yang pernah membawakan watak Lois Lane.

Sekali lagi aku melihat Bumi diserang makhluk asing. Kebelakangan ini plot serangan makhluk asing ke atas Bumi begitu popular bermula dengan filem Independence Day, Mars Attacks!, War of the Worlds, Skyline, Battle: Los Angeles, Transformers: Dark of the Moon dan The Avengers.


Yang Merapu

Aku selalu terfikir, bagaimana agaknya Clark memotong rambut dan mencukur janggutnya. Di dalam filem ini ada ditunjukkan imej Clark yang berjambang, namun apabila Clark memakai sut Supermannya, mukanya bercukur licin. Apa pisau cukur yang mampu mencukur jambangnya?

Pakaian Superman ditemui oleh Clark di dalam sebuah pesawat Krypton yang ditemui di Artik. Agak menghairankan kerana pakaian tersebut berpadanan dengan saiz Clark. Mungkin juga pakaian tersebut jenis yang stretchable, huhu.

Tiada ulasan: