Black Sabbath, kumpulan yang diterima umum sebagai kumpulan heavy metal pertama |
Heavy metal pada mulanya seolah-olah istilah pelik yang diberikan kepada suatu genre muzik.
Bagaimanapun, setelah dibuat sedikit penyelidikan tentang asal-usul istilah tersebut maka didapati bahawa penggunaan istilah heavy metal adalah menepati dengan genre muzik yang berat dan keras itu.
Istilah heavy digunakan pada era hippi dari tahun 1950-an bermaksud 'sesuatu yang serius' atau 'mendalam' dan kemudiannya perkataan muzik ditambah kepadanya menjadikannya sebagai heavy music atau 'muzik yang serius/mendalam'.
Kenapa pula satu bentuk muzik disamakan dengan logam atau metal?
Kebanyakan logam adalah berat, terutama logam yang digemari oleh kumpulan-kumpulan yang bermain genre muzik tersebut dan menggunakan nama logam sebagai nama kumpulan mereka contohnya Led Zeppelin, Iron Butterfly dan Quicksilver Messenger Service (Quicksilver adalah sejenis merkuri atau raksa yang juga adalah logam).
Juga, di dalam istilah kimia, logam berat atau heavy metal merangkumi raksa, plumbum dan kadmium yang mempunyai kadar toksik yang banyak, sesuai dengan imej muzik yang dimainkan. Jadi, kedua-dua istilah 'logam' dan 'berat' ini adalah istilah yang sesuai untuk genre muzik tersebut.
Logam berat atau heavy metal juga telah pun digunakan secara meluas sebagai istilah ketenteraan untuk kereta kebal dan juga angkatan lengkap bersenjata oleh itu ia kelihatan cocok untuk menggambarkan sebuah kumpulan muzik dengan muzik yang mampu menggegarkan atau menggemparkan.
Kumpulan muzik heavy metal yang pertama adalah seperti Black Sabbath, Ozzy Osbourne, Led Zeppelin dan Judas Priest yang berasal dari Birmingham yang juga merupakan pusat perkilangan dan pengeluaran logam yang utama di United Kingdom.
Birmingham merupakan bandar perindustrian yang pertama di dunia dan digelar Black Country yang mana pernah disebut oleh Konsulat Amerika Syarikat pada tahun 1868 sebagai 'hitam pada siang hari, merah pada waktu malam' (black by day, red by night).
Kawasan perkilangan di Black Country, Birmingham |
Kebanyakan anggota-anggota kumpulan muzik yang disebutkan di atas pernah bekerja di kilang-kilang logam pada siang hari (Ozzy Osbourne pernah menjadi penguji hon kereta di sebuah kilang pengeluar kereta di Birmingham) dan pada waktu malamnya mereka bermain muzik rock.
Adalah tidak menghairankan apabila imej kumpulan-kumpulan tersebut dan muzik yang dimainkan adalah sinonim dengan pekerjaan yang dilakukan oleh mereka pada siang hari.
Black Sabbath telah diterima umum menjadi kumpulan muzik heavy metal yang pertama. Sebelum dikenali sebagai Black Sabbath, mereka dikenali dengan nama Earth sempena mitos Middle Earth yang diperkenalkan oleh penulis J.R.R. Tolkien di dalam karya-karyanya seperti Lord of the Rings.
J.R.R. Tolkien juga adalah warga tempatan yang telah dibesarkan di Black Country (Birmingham). Dipercayai bahawa beliau telah mendapat ilham untuk daerah Mordor di dalam karya-karyanya berdasarkan kepada Black Country.
Kini, adalah jelas di mana muzik heavy metal berasal, dari Birmingham, United Kingdom.
Meskipun Ozzy dan rakan-rakannya bermain muzik heavy metal pada penghujung 60-an dan awal 70-an, mereka tidak menggunakan istilah tersebut untuk menggambarkan genre muzik yang mereka mainkan - ia bermula apabila mereka meluaskan pengaruh muzik mereka ke Amerika Syarikat.
Istilah heavy metal yang pertama muncul di dalam sebuah novel karya William Burrough berjudul The Soft Machine yang diterbitkan pada tahun 1962. Di dalam novel tersebut terdapat watak seorang makhluk asing bernama Willy yang digelar Heavy Metal Kid.
Burrough kemudiannya menggunakan semula istilah tersebut di dalam novelnya berjudul Nova Express yang diterbitkan pada tahun 1964. Berikut adalah petikan daripada novel tersebut yang menggunakan istilah heavy metal:
"With their diseases and orgasm drugs and their sexless parasite life forms - Heavy Metal People of Uranus wrapped in cool blue mist of vaporized bank notes - And the Insect People of Minraud with metal music."
Tidak dapat dipastikan siapakah yang mula-mula menggunakan istilah heavy metal untuk merujuk kepada muzik rock keras, walaupun terdapat beberapa tulisan yang seolah-olah merujuk kepada genre itu, contohnya apabila pihak wartawan menggambarkan muzik yang dimainkan oleh Jimi Hendrix seperti 'mendengar logam yang berat jatuh daripada langit' (like listening to heavy metal falling from the sky), meskipun ia satu penilaian yang agak tepat namun ia bukanlah penggunaan frasa tersebut yang terawal.
Ada yang mendakwa bahawa pengkritik muzik rock iaitu Lester Bangs yang bekerja untuk majalah Creem telah menggunakan ungkapan tersebut pada tahun 1968 untuk menggambarkan tentang muzik yang dimainkan oleh kumpulan MC5 (Motor City Five) bagaimanapun tiada bukti yang dapat menyokong fakta tersebut.
Istilah tersebut sekali lagi digunakan oleh Mike Saunders, untuk artikel tentang album Kingdom Come oleh Sir Lord Baltimore dalam majalah Creem edisi Mei 1971. Berikut ialah petikan daripada artikel tersebut:
"This album is a far cry from the currently prevalent Grand Funk sludge, because Sir Lord Baltimore seems to have down pat most all the best heavy metal tricks in the book."
Sehingga bukti lain ditemui, petikan ini merupakan bukti kukuh yang merujuk kepada istilah heavy metal digunakan kepada genre muzik.
Agak mengejutkan, istilah tersebut tidak pernah digunakan dalam konteks muzik sebelum tahun 1971 sedangkan kumpulan Steppenwolf pernah menggunakan istilah heavy metal di dalam lirik lagu mereka berjudul Born to be Wild pada tahun 1968. Berikut adalah petikan lirik lagu tersebut:
"I like smoke and lightning
Heavy metal thunder
Racin' with the wind
And the feelin' that I'm under"
Ungkapan tersebut mungkin berbunyi slanga Amerika tetapi muzik yang dilahirkan adalah daripada Black Country, United Kingdom.
sumber: www.phrases.org.uk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan