Selasa, 30 April 2013

Kitalah yang mencipta musuh kita sendiri


Sinambungan filem adiwira Marvel, Iron Man semakin bertambah bagus dan menarik.

Bermula daripada filem pertamanya, Iron Man yang boleh aku katakan agak biasa, disusuli pula dengan Iron Man 2 yang memperlihatkan akan kemurungan Tony Stark meskipun dia telah membongkarkan siapakah Iron Man dan pergolakan diri Tony Stark diteruskan dalam filem The Avengers.

Kini, menerusi siri ketiga Iron Man pergolakan dalam jiwa Tony Stark (Robert Downey Jr.) yang semakin membarah telah hampir-hampir membinasakan dirinya.

Aku dapat rasakan ada persamaan antara diri Tony Stark dan Bruce Wayne, identiti sebenar adiwira DC Batman. Kedua-duanya adalah usahawan berjaya dan kedua-duanya juga tidak mendapat cukup kasih sayang daripada ibu bapa.

Kali ini, filem Iron Man 3 diletakkan di bawah tanggungjawab Shane Black (Kiss Kiss Bang Bang) yang telah berjaya mengubah sebuah filem fantasi adiwira menjadi sebuah filem bercorak political thriller.

Boleh dikatakan Iron Man 3 sebenarnya 'menyindir' kekalutan Amerika Syarikat dalam menangani serangan pengganas sehingga sanggup menyerang sebuah negara lain demi kempennya menyerang pengganas sedangkan musuh yang sebenar berada di negara sendiri.

Hubungan antara Tony Stark dan Pepper Pots (Gwyneth Paltrow) juga dikembangkan dalam filem ini. Sekiranya diamati, sebenarnya berlaku hubungan cinta tiga segi antara Tony Stark bersama Pepper Pots dan sut Iron Man ciptaannya. Tony lebih banyak menghabiskan masa di makmal rumahnya membuat pengubahsuaian terhadap sut Iron Man berbanding hubungan intimnya dengan Pepper Pots.

Kemunculan Adrich Killian yang merupakan bekas teman lelaki Pepper Pots (juga ada sejarah peribadi dengan diri Tony Stark) telah menyulitkan lagi hubungan Tony dan Pepper. Ini ditambah pula dengan beberapa siri serangan daripada kumpulan pengganas Ten Rings yang diketuai oleh seorang lelaki misteri bernama Mandarin. Serangan tersebut telah mencederakan pembantu dan pengawal peribadi Tony iaitu Happy Hogan menyebabkan Tony Stark tidak keruan dan telah melakukan sesuatu yang membahayakan nyawanya.

Meskipun aku berpuas hati dengan filem ini namun ada beberapa perkara yang aku agak kecewa. Pertama ialah tentang watak Mandarin. Sebagai seorang penggemar komik, watak-watak di dalam Iron Man memang tidak asing bagi aku, terutamanya watak Mandarin yang menjadi musuh utama bagi Iron Man.

Watak Mandarin pada asalnya merupakan suatu perlambangan bagi komunis. Boleh dikatakan watak Iron Man dicipta sewaktu memuncaknya Perang Dingin di antara Amerika Syarikat dan blok Komunis seperti China dan Soviet Union. Dua watak musuh utama Iron Man iaitu Ivan Vanko melambangkan komunis Soviet Union manakala Mandarin melambangkan komunis China. Watak Ivan Vanko pernah dilakonkan oleh Mickey Rourke dalam filem Iron Man 2.

Meskipun Mandarin divisualkan di dalam Iron Man 3 bagaimanapun ia telah mengecewakan aku kerana tidak menepati ciri-ciri Mandarin di dalam komik. Aku tidak mahu menceritakan lebih lanjut tentang watak Mandarin di dalam entri ini kerana ia akan menjadi spoiler. Aku agak kagum dengan Sir Ben Kingsley yang sanggup membawakan watak tersebut kerana pada aku ia seakan-akan merendahkan keupayaan pelakon ternama tersebut.

Guy Pearce berjaya membawakan watak Adrich Killian dengan berkesan, boleh dikatakan setara dengan watak Joker lakonan Heath Ledger di dalam filem The Dark Knight dan juga watak Raoul Silva lakonan Javier Bardem di dalam filem Skyfall.

Agak sia-sia juga aku menunggu sehingga habis kredit kerana ingin menyaksikan 'petunjuk' kepada sinambungan filem The Avengers malangnya ia cuma adegan di mana Tony Stark berjumpa dengan doktor menceritakan tentang trauma dirinya. Doktor tersebut yang tertidur mengakui bahawa dia bukanlah doktor yang sesuai untuk kes yang diceritakan oleh Tony. Doktor itu tidak lain ialah Dr. Bruce Banner ataupun Hulk yang dilakonkan oleh Mark Ruffalo, membayangkan bahawa filem The Incredible Hulk yang terbaharu mungkin akan dibikin atau sedang dalam pembikinan dengan watak utamanya dilakonkan oleh Mark Ruffalo. Sebelum ini Mark Ruffalo pernah melakonkan watak Dr. Bruce Banner di dalam filem The Avengers.

Tiada ulasan: