Rabu, 26 September 2012

Mandarin dan Ten Rings, antagonis untuk Iron Man 3

Mungkinkah ini sut terbaharu Iron Man?

Nampaknya pelakon hebat, Sir Ben Kingsley (Ghandi) telah disahkan akan membawakan watak antagonis Mandarin di dalam filem Iron Man 3.

Berbeza daripada watak Mandarin di dalam komik, yang menjadi simbolik sebagai kebangkitan kuasa komunis sewaktu zaman Perang Dingin, watak Mandarin di dalam filem ini adalah sebagai ketua kepada sebuah organisasi jenayah ala kongsi gelap yang dikenali sebagai The Ten Rings.

Pelakon lain yang disahkan turut berlakon dalam filem ini ialah Robert Downey Jr yang sekali lagi akan membawakan watak utama iaitu Tony Stark dan Iron Man. Gwyneth Paltrow juga akan kembali membawakan watak Pepper Potts iaitu teman wanita dan pembantu peribadi Tony Stark manakala Don Cheadle akan membawakan watak James Rhodes dan War Machine.

Pelakon Guy Pearce pula akan membawakan watak sebagai seorang saintis bernama Aldrich Killian manakala pelakon British Rebecca Hall akan membawakan watak Dr. Maya Hansen.

Wang Xueqi sebagai Chen Lu atau dikenali juga sebagai Radioactive Man

Pelakon China, Wang Xueqi akan membawakan watak antihero China bernama Chen Lu aka Radioactive Man. Watak tersebut sepatutnya dilakonkan oleh pelakon popular Andy Lau bagaimanapun beliau menarik diri di saat-saat akhir.

Iron Man 3 akan diarahkan oleh Shane Black yang sebelum ini pernah mengarahkan filem bercorak jenayah berjudul Kiss Kiss Bang Bang yang dibintangi oleh Robert Downey Jr.

Iron Man 3 dijangka ditayangkan di pawagam di seluruh dunia pada 3 Mei 2013.

Tiada ulasan: