Isnin, 3 September 2012

Jack Ryan dan John Clark

Watak Jack Ryan lakonan Harrison Ford dan John Clark lakonan Willem Dafoe di dalam filem Clear and Present Danger
Jack Ryan dan John Clark (atau dikenali juga sebagai John Kelly) ialah dua watak ciptaan Tom Clancy di dalam novel-novel perisikan karyanya. Menariknya, kedua-dua watak tersebut akan menemui anda pada tahun hadapan.

Watak Jack Ryan yang digelar sebagai James Bond Amerika Syarikat ini pernah dilakonkan oleh beberapa orang pelakon sebelum ini seperti Alec Baldwin di dalam filem The Hunt for Red October (1990 - kemunculan sulung Jack Ryan di layar perak), Harrison Ford (Patriot Games - 1992, Clear and Present Danger - 1994) dan Ben Affleck di dalam filem The Sum of All Fears pada tahun 2002.

Chris Pine sebagai Jack Ryan
Filem terbaharu yang berjudul Jack Ryan akan menyaksikan pelakon Chris Pine (Star Trek) membawakan watak perisik Amerika Syarikat itu. Sementara itu sebuah lagi filem yang diadaptasi daripada novel berjudul Without Remorse akan menampilkan watak seorang lagi perisik Amerika Syarikat yang bernama John Clark. Sebelum ini watak John Clark pernah muncul dalam beberapa filem menampilkan Jack Ryan dan dilakonkan oleh beberapa pelakon terkenal seperti Willem Dafoe di dalam Clear and Present Danger (1994) dan Liev Schreiber di dalam filem The Sum of All Fears (2002). Dalam filem Without Remorse watak John Clark akan dilakonkan oleh Tom Hardy (The Dark Knight Rises).

Jack Ryan tidak akan muncul dalam filem Wihout Remorse begitu juga John Clark tidak akan muncul dalam filem Jack Ryan. Bagaimanapun, watak yang akan menghubungkaitkan kedua-dua filem tersebut ialah William Harper lakonan Kevin Costner. William Harper ialah seorang agen CIA yang akan membuat kemunculan di dalam filem Jack Ryan dan Wihout Remorse menjadikan watak ini sama seperti watak Nick Fury lakonan Samuel L. Jackson di dalam filem-filem adiwira The Avengers terbitan Marvel.

Kevin Costner sebagai William Harper di dalam filem Jack Ryan.  Costner akan membawakan watak yang sama di dalam filem Without Remorse
Filem Jack Ryan turut dibintangi oleh Kiera Knightly dan diarahkan oleh Kenneth Branagh manakala untuk filem Wihout Remorse pihak produksi masih dalam perbincangan bersama Christopher McQuarrie sebagai pengarah(McQuarrie ialah pengarah filem Jack Reacher, juga watak seorang perisik daripada novel karya Jim Grant aka Lee Child yang dilakonkan oleh Tom Cruise).



*Setelah menonton filem-filem retro James Bond yang disiarkan di TV2, aku teringatkan akan watak perisik Melayu bernama Jefri Zain lakonan YB Senator Tan Sri Dr. Haji Jins Shamsuddin. Mungkin ketika itu Jefri Zain dikenali sebagai James Bond Singapura ataupun James Bond Malaya. Bagus juga sekiranya watak tersebut dikembalikan sebagai James Bond Malaysia memandangkan filem-filem bercorak perisikan agak kurang di Malaysia. Sebelum ini ada filem Uncle Usin malangnya dalam bentuk komedi. Soalnya, siapa yang layak membawakan watak Jefri Zain pada masa kini? Mungkin Aaron Aziz calon yang sesuai memandangkan beliau sudah pun menjadi warganegara Malaysia.

Tiada ulasan: