Rabu, 5 September 2012

Hansel dan Gretel, pemburu ahli sihir

Kini seakan menjadi trend apabila kisah-kisah rakyat diolah semula mengikut citarasa masa kini. Mungkin bukan perkara baharu kerana sebelum ini pun banyak kisah-kisah rakyat difilemkan dan diolah semula mengikut peredaran zaman.

Namun populariti untuk filem-filem berdasarkan kisah-kisah dongeng rakyat ini meningkat bermula dengan filem The Brothers Grimm pada tahun 2005 kemudian diikuti dengan Red Riding Hood (2011) dan yang paling baharu ialah Mirror Mirror (2012) dan Snow White and the Huntsman (2012).

Hansel and Gretel: Witch Hunters adalah filem seterusnya yang akan meneruskan sinambungan filem-filem fantasi yang berdasarkan kisah-kisah rakyat. Bergenre fantasi gelap, aksi, seram dan komedi filem ini mengisahkan pasangan adik-beradik iaitu Hansel dan Gretel setelah berjaya membunuh ahli sihir yang ingin memakan mereka, kini menjadi pemburu yang diupah untuk memburu dan membunuh ahli sihir.

Pada mulanya mereka dapat melakukan tugas mereka tanpa sebarang halangan namun tugasan yang baru diterima iaitu membunuh seorang ahli sihir wanita yang telah mengorbankan ramai kanak-kanak di sebuah bandar tidak semudah tugasan mereka sebelum ini. Keadaan menjadi lebih sukar apabila seorang penguasa di bandar tersebut telah melancarkan misinya sendiri untuk membunuh ahli sihir tersebut.

Hansel and Gretel: Witch Hunters dibintangi oleh Jeremy Renner (The Bourne Legacy), Gemma Arterton (Quantum of Solace), Famke Janssen (X-Men), Peter Stormare (Get the Gringo), Pihla Viitala, Zoë Bell (Ultraviolet, Death Proof), Derek Mears (Friday the 13th) dan Thomas Mann (Project X). Filem ini diarahkan oleh Tommy Wirkola (Dead Snow).



Tiada ulasan: