Khamis, 26 April 2012

Ben Kingsley dalam Iron Man 3

Setelah berlaku perbalahan antara Walt Disney dan Paramount tentang hak milik untuk pengedaran dan penerbitan filem adiwira Marvel iaitu Iron Man, akhirnya persetujuan telah dicapai dan memungkinkan pembikinan filem Iron Man 3.

Khabarnya, Disney, Marvel dan Paramount telah bersetuju untuk bekerjasama menerbitkan filem tersebut. Walt Disney dikatakan membayar sekurang-kurangnya AS$115 juta kepada Paramount untuk hak milik pengedaran filem Iron Man 3 dan The Avengers.

Iron Man 3 dijangka akan diarahkan oleh Shane Black dengan plot filemnya adalah sinambungan daripada filem The Avengers. Pelakon terkenal Sir Ben Kingsley dikatakan berminat untuk membawakan watak penjahat dalam filem ini. Sementara watak Tony Stark dan Iron Man masih lagi dibawakan oleh Robert Downey, Jr.

Ben Kingsley

Walt Disney China pula bersetuju untuk menerbitkan filem Iron Man 3 di China malahan beberapa lokasi penggambaran juga akan dilakukan di China. Menjadi persoalan sekarang adakah watak penjahat Mandarin akan diperkenalkan dalam filem Iron Man 3 ini kerana menurut sejarah komik Iron Man, Mandarin digambarkan sebagai penjahat yang mewakili fahaman komunis, tidakkah ini akan menimbulkan rasa kurang senang dan menyinggung perasaan kerajaan China?

Kemungkinan yang ada ialah watak Mandarin akan ditukar menjadi penjahat yang mewakili organisasi jenayah terancang seperti kongsi gelap ataupun rangkaian pengganas. Khabar angin juga mengatakan pelakon terkenal Hong Kong iaitu Andy Lau akan turut berlakon di dalam filem Iron Man 3.

Andy Lau

Andy Lau dikatakan akan membawakan watak 'kawan lama' kepada Tony Stark iaitu seorang saintis yang bekerja dengan kerajaan China dan akan membantu Iron Man menentang Mandarin yang merupakan musuh kepada Amerika Syarikat dan China.

Sementara itu, Scarlett Johansson yang memegang watak sebagai Natasha Romanoff ataupun Black Widow kemungkinan besar tidak akan kembali membawakan watak itu di dalam filem Iron Man 3. Ini kerana pihak Marvel sedang dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah filem tentang Black Widow.

Gwyneth Paltrow yang membawakan watak Virginia 'Pepper' Pots akan kembali di dalam filem Iron Man 3 begitu juga dengan pelakon Don Cheadle yang membawakan watak Lt. Colonel James 'Rhodey' Rhodes.

Iron Man 3 dijangka akan ditayangkan kepada umum pada bulan Mei 2013.

Tiada ulasan: