Rabu, 16 November 2011

Christopher Reeve kena tulah?


Christopher Reeve memang terkenal sebagai pelakon yang membawakan watak adiwira Superman dan telah membintangi empat filem adiwira tersebut.

Ramai yang mengatakan bahawa Christopher Reeve telah terkena sumpahan Superman kerana malang atau musibah akan menimpa mereka yang membintangi atau membawakan watak Superman.

Antaranya seperti pelakon George Reeves (meskipun nama lebih kurang sama namun tiada pertalian keluarga) yang pernah membawakan watak Superman pada era 50'an yang mati ditembak.

Bagaimanapun tahukah anda bahawa Christopher Reeve pernah melakonkan watak sebagai seorang yang lumpuh sebelum beliau benar-benar lumpuh akibat terjatuh daripada kuda?

Filem tersebut berjudul Above Suspicion yang dikeluarkan pada tahun 1995. Di dalam filem tersebut Christopher Reeve melakonkan watak seorang pegawai polis yang lumpuh. Dia kemudiannya merancang pembunuhan isterinya (lakonan Kim Catrall) apabila mengesyaki isterinya telah berlaku curang terhadapnya.

Enam hari sebelum filem ini ditayangkan kepada umum, Christopher Reeve telah terjatuh sewaktu menunggang kuda yang menyebabkan beliau patah tengkuk. Kecederaan itu telah menyebabkan Christopher Reeve menjadi lumpuh dari paras tengkuk sehingga ke kakinya. Mungkin ramai juga yang tidak mengetahui bahawa Christopher Reeve sebenarnya alah pada kuda. Namun apabila dikehendaki untuk menunggang kuda dalam filem Anna Karenina pada tahun 1985, Christopher Reeve telah mengambil ubat anti alahan (antihistamines) dan berusaha untuk mengatasi alahannya terhadap kuda. Akhirnya alahan terhadap kuda hilang dan Christopher Reeve mula berminat dengan sukan berkuda.

Riwayat hidup Christopher Reeve agak panjang dan bersama isterinya beliau telah menjelajah ke seluruh dunia mencari rawatan bagaimanapun hampa. Akhirnya Christopher Reeve meninggal dunia pada 10 Oktober 2004 akibat serangan jantung.

Adakah kejadian yang menimpa Christopher Reeve kerana sumpahan Superman atau pun kerana melakonkan watak seorang yang lumpuh yang menyebabkan beliau akhirnya mendapat lumpuh yang sebenar?

Jawapan yang pasti, Tuhan menentukan segalanya.

Tiada ulasan: